McDonald's Malaysia, RMHC ceriakan 12,000 anak yatim dengan sambutan hari jadi | DagangNews Skip to main content

McDonald's Malaysia, RMHC ceriakan 12,000 anak yatim dengan sambutan hari jadi

Anak-anak yatim dari Pertubuhan Rahoma Darul Fakir bergambar ketika memotong kek sambutan hari lahir bersama Datuk Faridah Omar Shah (tengah, kiri) dan Shamsidar Yahya pada 4 Oktober 2022.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Okt - McDonald's Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia berganding bahu mengunjungi 400 rumah kebajikan bagi menceriakan 12,000 anak yatim dengan sambutan hari jadi.

 

Ia bagi mengukuhkan komitmen mereka dalam mewujudkan impak positif dalam kalangan masyarakat melalui program bulan komuniti yang bertumpukan kepada kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak sepanjang bulan Oktober ini. 

 

Bulan Komuniti adalah sebahagian daripada Program Komuniti @ McD & RMHC yang merupakan inisiatif utama memayungi segenap usaha kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh McDonald’s Malaysia dan RMHC Malaysia pada setiap tahun.

 

Untuk bulan komuniti tahun ini, RMHC Malaysia akan menyumbangkan set tilam dan bantal baharu bernilai RM275,000 kepada 20 rumah kebajikan kanak-kanak di seluruh negara. 

 

Pengarah Komunikasi Korporat McDonald’s Malaysia, Shamsidar Yahya berkata, menjadi kelaziman bagi McDonald’s untuk menyantuni anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan. 

 

"Malah, kesejahteraan masyarakat di sekitar lokasi operasi McDonald’s sentiasa mendapat perhatian kami. Dengan adanya RMHC Malaysia, ia secara langsung melancarkan lagi pelaksanaan inisiatif kemasyarakatan sebegini memandangkan RMHC Malaysia sentiasa komited menyokong sebarang usaha melibatkan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak.

 

“Usaha bersama ini nampak kecil namun cukup bermakna kepada anak-anak ini. Setiap kali mereka dirai, senyum dan tawa mereka membuatkan kami tersentuh. Disebabkan itu kami nekad untuk jadikan sambutan ini sebagai acara tahunan, dan selagi mana ia disambut baik, kita akan teruskan usaha bersama ini demi kebajikan kanak-kanak ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

mcd

 

 

Terdahulu, beliau bersama Pengurus Besar RMHC Malaysia, Nasri Nordin menyampaikan menyampaikan sumbangan set tilam dan bantal baharu kepada Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Kuala Lumpur.

 

Menurut Shamsidar, pendekatan melalui penganjuran parti hari jadi oleh McDonald’s di rumah-rumah kebajikan adalah sebagai simbolik kasih sayang kepada anak-anak itu, memandangkan hari kelahiran merupakan hari paling bermakna dan istimewa dalam hidup seseorang, tambahan pula setelah beberapa tahun tidak menerima kunjungan orang luar disebabkan pandemik.

 

 

mcd

 

 

mcd

 

 

Presiden Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Kuala Lumpur, Datuk Faridah Omar pula berkata, mereka sangat berbesar hati menerima kehadiran McDonald’s dan RMHC.

 

"Kami sudah lama tidak menerima kunjungan ramai seperti ini ditambah pula dengan penganjuran parti hari jadi besar-besaran yang jarang sekali dibuat. Anak-anak di sini sangat teruja dan gembira, dan saya sangat terharu melihat senyuman yang terukir di wajah mereka. 

 

 

mcd

 

 

"Sumbangan set tilam dan bantal baharu pula sememangnya amat dialukan kerana ia mampu memberikan keselesaan untuk anak-anak di sini selepas penat menghabiskan masa dengan aktiviti seharian,” katanya.

 

McDonald’s Malaysia dan RMHC Malaysia komited mendekati seramai mungkin golongan masyarakat yang memerlukan di negara ini. 

 

Melalui Program Komuniti @McD & RMHC, dianggarkan lebih 7,000 aktiviti kemasyarakatan dilaksanakan setiap tahun melibatkan warga kerjanya di seluruh negara. - DagangNews.com