Maybank Islamic, Axis REIT laksana IPRS berkaitan kemampanan | DagangNews.com Skip to main content

Maybank Islamic, Axis REIT laksana IPRS berkaitan kemampanan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Okt - Maybank Islamic Berhad telah melaksanakan Swap Kadar Keuntungan secara Islam (IPRS) berkaitan kemampanan dan berjangka 10 tahun dengan Pelaburan Amanah Hartanah Axis (Axis REIT).

 

Termaktub dalam IPRS berkenaan ialah penunjuk prestasi utama (KPI) pelaksanaan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan sasaran prestasi kemampanan (SPT) untuk menilai aspirasi ESG Axis REIT. 

 

Sekiranya Axis REIT berjaya mencapai SPT ini, ia akan dapat manfaat diskaun keatas kadar keuntungan IPRS. Dalam ruang derivatif Islam, manfaat diskaun keatas kadar keuntungan IPRS adalah dipercayai yang pertama yang ditawarkan oleh institusi perbankan Islam di Malaysia.

 

IPRS ialah produk terbitan Islam yang diterima secara meluas dan digunakan untuk melindung nilai risiko kadar keuntungan. 

 

Ia adalah perjanjian untuk menukar kadar keuntungan antara dua pihak dan dilaksanakan melalui pelaksanaan beberapa siri kontrak asas untuk memperdagangkan komoditi tertentu bagi memastikan ia mematuhi syariah.

 

IPRS berkaitan kemampanan melindung nilai pendedahan kadar keuntungan Axis REIT (daripada pembiayaan berkaitan kemampanan berstruktur yang sama) dan pada masa yang sama menjajarkan harga IPRS dengan matlamat ESG jangka panjang mereka. 

 

Tawaran inovatif ini terhasil daripada dialog rapat antara Maybank dan Axis REIT, dan kedua-dua pihak bersetuju bahawa IPRS biasa tidak akan mencukupi. 

 

Sebaliknya, dengan menambahkan KPI ESG dan gandingan SPT ke dalam IPRS akan dapat menilai sejauh mana Axis-REIT mencapai sasaran spektrum ESG dan boleh memberikan Axis REIT dengan diskaun kadar keuntungan yang bermanfaat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, pihaknya mahu menggalakkan pelanggan untuk mengamalkan amalan mampan, seterusnya menawarkan penyelesaian berkaitan kemampanan sebagai insentif. 

 

"Pengenalan IPRS berkaitan kemampanan adalah satu inovasi yang kami harap dapat memajukan komitmen kami untuk menyokong dan membentuk model perniagaan yang mampan. Kami berbesar hati mendapat Axis REIT sebagai pelanggan pertama kami yang menjadi sebahagian daripada perjanjian IPRS berkaitan kemampanan ini.

 

"Banyak syarikat di seluruh dunia telah menjadikan agenda kelestarian sebagai keutamaan perniagaan mereka. Kumpulan Maybank tidak terkecuali dalam hal ini dan kami sentiasa menyokong pelanggan kami yang berada dalam perjalanan yang sama. 

 

"Kami komited untuk menyokong pelanggan yang berfikiran sama dalam menstruktur penyelesaian inovatif seperti ini sambil memainkan peranan kami untuk menyumbang kepada agenda ESG yang lebih luas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Axis REIT Managers Berhad, Leong Kit May pula berkata, pihaknya berbesar hati menjadi entiti tersenarai awam pertama yang mengambil bahagian dalam IPRS berkaitan kemampanan yang diperkenalkan oleh Maybank Islamic. 

 

Beliau berkata, ia adalah bukti usaha mereka ke arah mengutamakan penggunaan ESG dan amalan mampan selama ini. 

 

"Sebagai pelaburan amanah hartanah Islam yang pertama di Malaysia, Axis REIT sentiasa menyasarkan untuk berada di barisan hadapan dalam menerima pakai amalan terbaik industri, yang mana kami telah merasmikan pelaporan kemampanan secara rasmi pada tahun 2016 dan telah melangkah ke hadapan untuk meningkatkan penekanan kami pada kemampanan merentas operasi kami.

 

"Melangkah ke hadapan, kami akan terus menerima dan melabur dalam aktiviti ESG. Ramai yang tahu bahawa menggabungkan piawaian ESG dan amalan mampan mempunyai hasil yang ketara dalam operasi perniagaan seperti pengurangan risiko dan peningkatan peluang perniagaan," katanya. - DagangNews.com