Langkah kerajaan gandakan pelaburan keselamatan siber dalam Bajet 2023 disambut positif pemain industri | DagangNews Skip to main content

Langkah kerajaan gandakan pelaburan keselamatan siber dalam Bajet 2023 disambut positif pemain industri

Suk Hua Lim
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 10 Okt - Langkah kerajaan Malaysia menggandakan pelaburan keselamatan sibernya tiga kali ganda daripada RM21 juta pada 2021 kepada RM73 juta dalam Bajet 2023, disambut positif oleh pemain industri.

 

Pengurus Negara, Palo Alto Networks Malaysia, Suk Hua Lim berkata, pihaknya memuji inisiatif yang disediakan untuk tindak balas insiden dan kesedaran keseluruhan.

 

"Apa yang lebih penting ialah memberi perhatian kepada asas-asas yang termasuk menyokong pelaburan dalam infrastruktur pertahanan keselamatan siber dan pengesanan awal.

 

"Ini adalah kunci kepada kejayaan pelancaran 5G dalam perancangan,” kata beliau dalam kenyataan di sini.

 

Ketika membentangkan Bajet  2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan Kerajaan akan memperkasakan CyberSecurity Malaysia dengan peruntukan RM73 juta, antaranya bagi mengukuhkan pemantauan, pengesanan dan pelaporan ancaman siber termasuk membina keupayaan sistem forensik siber.

 

BACA: Bajet 2023: Kerajaan perkukuh usaha banteras scam

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Exabytes, Chan Kee Siak berkata, jelas sekali bahawa kerajaan berhasrat untuk memaksimumkan potensi ekonomi digital, dicerminkan dalam usahanya untuk meningkatkan ekosistem industri yang akan memberi manfaat kepada negara secara keseluruhan.

 

Menurutnya, dngan peruntukan RM100 juta kerajaan untuk menyokong pembangunan syarikat teknologi, Malaysia bersedia untuk menyaksikan kemajuan teknologi selanjutnya yang akan menggalakkan penggunaan pendigitalan.

 

"Ini adalah penting ke arah membangunkan bakat masa depannya dan mencapai status berpendapatan tinggi," kata beliau.

 

 

Exabytes, Chan Kee Siak
                                                           Chan Kee Siak

 

 

Selain itu kata Chan, sejumlah RM73 juta yang akan diperuntukkan untuk mengukuhkan keselamatan siber di Malaysia akan membantu meningkatkan pemantauan, pengesanan dan pelaporan ancaman keselamatan siber.

 

"Sebagai melengkapkan usaha kerajaan, kami di Exabytes sedang menjalankan kempen #DetectToProtect sempena Bulan Kesedaran Keselamatan Siber.

 

"Kempen ini disusun secara strategik untuk mendidik pemilik perniagaan, pemimpin dan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), tentang kepentingan membuat persediaan sekiranya berlaku yang terburuk demi melindungi data sensitif mereka,” ujarnya. - DagangNews.com