Kunci kira-kira Hibiscus sedia ruang membina portfolio berdaya tahan apabila peluang muncul, kata Public Invest | DagangNews Skip to main content

Kunci kira-kira Hibiscus sedia ruang membina portfolio berdaya tahan apabila peluang muncul, kata Public Invest

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Mac - Kunci kira-kira Hibiscus Petroleum Berhad yang kukuh dijangka memberi ruang mencukupi untuk syarikat apabila peluang baik muncul, terutamanya ketika persekitaran harga minyak mentah tertekan, menurut Public Invest Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, hasil pengambilalihan yang telah dilakukan dahulu telah meningkatkan rizab simpanan syarikat lebih 18 kali ganda sejak 2016 dan kini berjumlah RM532 juta.

 

Hisbiscus juga mempunyai kemudahan hutang sebanyak AS$149 juta yang sedia digunakan untuk perbelanjaan modal bagi meningkatkan pengeluaran dan pemerolehan nilai akretifnya pada masa akan datang.

 

Susulan menghadiri Hari Pelabur Hibiscus Petroleum 2023, firma itu yakin dengan strategi pertumbuhannya ke arah mencapai 35,000 tong minyak sehari (boe/d) menjelang 2026 daripada 23,000 setakat tahun ini.

 

“Kami melihat ini sebagai sasaran yang realistik berdasarkan rekod prestasi pemerolehan kukuh dan kunci kira-kira sihat untuk meningkatkan pengeluaran sedia ada bagi menyokong pertumbuhan organik dan bukan organik,” katanya.

 

Firma itu menambah, ini melengkapkan strateginya untuk membina portfolio berdaya tahan dengan meningkatkan penyimpanan gas asli dalam aset mereka memandangkan peningkatan kesedaran terhadap peralihan tenaga hijau.

 

Bagaimanapun, firma itu melihat risiko kemelesetan global yang tinggi pada masa ini membebani sentimen harga minyak Brent dalam tempoh terdekat yang kini didagangkan pada AS$73 iaitu 15 bulan rendah.

 

Oleh itu, Public Invest mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) RM1.18. -DagangNews.com