Kulim (Malaysia) Bhd ikrar bebas rasuah untuk pacu tadbir urus lebih baik | DagangNews Skip to main content

Kulim (Malaysia) Bhd ikrar bebas rasuah untuk pacu tadbir urus lebih baik

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Jan - Kulim (Malaysia) Bhd. menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam usaha memacu tadbir urus yang lebih baik, budaya integriti dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan anggota pekerja serta vendor mengenai amalan bebas rasuah.

 

Pengarah Urusan Kulim, Mohd Faris Adli Shukery berkata, ikrar tersebut merupakan inisiatif pihaknya untuk mengekalkan tahap integriti yang tinggi, tadbir urus dan ketelusan dalam operasi perniagaan.

 

Katanya, pihaknya mahu memupuk kesedaran dalam kalangan pekerja Kulim tentang kepentingan mengamalkan nilai-nilai murni dan memupuk integriti sebagai tanggungjawab setiap daripada mereka.

 

"Begitu juga dengan vendor kami, untuk bertindak demi kepentingan terbaik Kulim dan mengekalkan tahap integriti, ketelusan serta akauntabiliti yang tinggi dalam menjalankan perniagaan dan operasi Kulim," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, Mohd Faris menandatangani IBR disaksikan oleh Timbalan Pengarah (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, SAC Sheikh Hamadi Sheikh Abdul Hamid, sempena Hari Integriti Kulim 2023 di Kota Tinggi, Johor.

 

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah Kulim, Ketua Pegawai Tadbir Urus Kumpulan Johor Corporation, barisan pengurusan Kulim, anggota pekerja dan vendor.

 

Selaras dengan tadbir urus yang baik, Kulim memperoleh Pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) ISO 37001:2016 pada 4 Jun 2021. 

 

 

kulim
Mohd Faris Adli Shukery (kanan) menyerahkan Ikrar Bebas Rasuah yang telah ditandatangani kepada SAC Sheikh Hamadi Sheikh Abdul Hamid pada program Hari Integriti Kulim 2023 di Kota Tinggi, Johor.

 

 

Pensijilan tersebut meliputi operasi perladangan termasuk ladang dan kilang kelapa sawit, operasi nanas, penternakan dan perkhidmatan korporatnya di Malaysia. 

 

Pada tahun akan datang, Kulim akan memperluaskan skop pensijilan ISO ABMS untuk syarikat subsidiarinya yang lain.

 

 Kulim juga telah mewujudkan Ikrar Integriti Vendor yang berfungsi sebagai perjanjian antara Kulim dan vendornya untuk mencegah rasuah, pakatan sulit atau amalan berkaitan rasuah bagi memastikan ketelusan serta akauntabiliti dalam proses pembelian. - DagangNews.com