Kerugian bersih Sapura Energy menyusut kepada RM3.3 bilion bagi 4QFY23 | DagangNews Skip to main content

Kerugian bersih Sapura Energy menyusut kepada RM3.3 bilion bagi 4QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Mac - Sapura Energy Berhad berjaya mengurangkan kerugian bersih kepada RM3.3 bilion bagi suku keempat berakhir 31 Januari 2023 (4QFY23) berbanding kerugian yang lebih besar sebanyak RM6.76 bilion bagi suku sama pada tahun sebelumnya.

 

Keputusan itu didorong oleh hasil yang lebih tinggi dan peruntukan yang lebih rendah untuk kerugian yang boleh dijangka, walaupun kerugian pertukaran mata wang asing yang lebih tinggi disebabkan oleh kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit.

 

Hasil suku tahunan meningkat lebih dua kali ganda kepada RM1.21 bilion daripada RM426.6 juta setahun lalu, terutamanya didorong oleh peratusan penyiapan projek yang lebih tinggi untuk segmen kejuruteraan dan pembinaan (E&C), dan hari penggunaan pelantar yang lebih tinggi untuk segmen penggerudian.

 

Pada suku terakhir, kumpulan itu juga membuat peruntukan untuk penjejasan nilai muhibah pada penyatuan sebanyak RM1.46 bilion dan peruntukan untuk penjejasan nilai ke atas hartanah, loji dan peralatan sebanyak RM1.15 bilion.

 

Bagi FY23, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM3.2 bilion, lebih rendah berbanding RM9.05 bilion yang dicatatkan pada FY22.

 

Hasil meningkat 10.9% kepada RM4.55 bilion untuk FY23 berbanding RM4.1 bilion setahun sebelumnya, disumbangkan oleh hasil yang lebih tinggi daripada segmen penggerudian, disebabkan oleh hari penggunaan pelantar yang lebih tinggi pada tahun terkini serta segmen operasi dan penyelenggaraan.

 

Kumpulan itu berkata, kemerosotan itu dikaitkan dengan kos purata wajaran modal yang lebih tinggi kesan daripada kenaikan kadar faedah global.

 

“Satu lagi pemacu caj rosot nilai ialah tinjauan perniagaan yang disemak, terutamanya disebabkan oleh modal kerja yang terhad dan kemudahan jaminan bank, dan unjuran kitaran penurunan pasaran dalam jangka sederhana hingga panjang,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Bagi FY24, kumpulan itu akan terus melaksanakan pelan penyusunan semulanya untuk menangani hutang tidak mampan dan menyelesaikan tuntutan tertunggak oleh pemiutang perdagangan.

 

"Kumpulan itu sedang membangunkan pelan penyusunan semula untuk menangani status Nota Amalan 17 (PN17), disokong oleh skim pengaturan dengan pemberi pinjaman dan pemiutang.

 

"Lembaga pengarah komited untuk memastikan kepentingan semua pemegang kepentingan akan dipertimbangkan secara adil dan saksama,” katanya.

 

Kumpulan itu telah melantik MIDF Amanah Investment Bank sebagai penasihat utama untuk membantu merangka pelan penyusunan semulanya. - DagangNews.com