Skip to main content

Mekanisme subsidi bahan api dijangka kekal, inflasi utama diunjur berlegar 2.3-2.5% pada 2023 - MIDF Research

Kelemahan ringgit berbanding dolar AS sebahagiannya telah menyebabkan kenaikan inflasi makanan. - Gambar : Facebook FAMA Kelantan
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Nov - MIDF Research mengekalkan unjuran indeks harga pengguna (IHP), yang mengukur kadar inflasi di Malaysia pada 3% bagi tahun ini memandangkan inflasi makanan kekal lebih tinggi di tengah-tengah peningkatan harga komoditi global.

 

Firma itu menjangkakan pertumbuhan harga makanan akan meningkat 5.5% tahun ini, antara lain disebabkan penyusutan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) secara berterusan.

 

Menurutnya, faktor tolakan penawaran terhadap inflasi dijangka perlahan pada 2023, disebabkan susut nilai mata wang dan harga makanan yang semakin menyederhana.

 

Selain itu, ia turut dipengaruhi masalah rantaian bekalan yang semakin berkurangan dan normalisasi harga komoditi.

 

"Selepas pilihan raya umum ke-15, kini prospek inflasi Malaysia lebih jelas pada tahun hadapan memandangkan kerajaan perpaduan yang baru dibentuk lebih cenderung mengekalkan mekanisme subsidi bahan api.

 

"Jika ia kekal tidak berubah, kami jangkakan inflasi utama akan berlegar antara 2.3 hingga 2.5% bagi 2023," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Berdasarkan kepada pelan tindakan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang kini menerajui kerajaan, ia mungkin mengkaji semula amalan monopoli ke atas beberapa barangan berkaitan pertanian dengan idea untuk meningkatkan bekalan keluaran dan menurunkan harga makanan.

 

 

gambar hiasan

 

Baca : Kadar inflasi di Malaysia pada Oktober menurun kepada 4%

 

 

Terdahulu, data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan menunjukkan kadar inflasi Malaysia pada Oktober 2022 turun kepada 4% berbanding 4.5% yang direkodkan pada September 2022.

 

Bagaimanapun, kadar ini masih lagi melepasi purata inflasi negara bagi tempoh Januari 2011 hingga Oktober 2022 iaitu pada 2%.

 

IHP bagi Oktober 2022 meningkat 4% kepada 128.6 berbanding 123.7 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Inflasi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol terus menunjukkan peningkatan sebanyak 7.1% berbanding 6.8% yang dicatatkan pada September 2022. 

 

Menurut MIDF Research, sebagai pengimport makanan bersih, kelemahan ringgit berbanding dolar AS sebanyak 11.4% (paras terendah lebih lima tahun) pada Oktober 2022 sebahagiannya telah menyebabkan kenaikan inflasi makanan.

 

Firma itu menjangkakan inflasi makanan di peringkat domestik akan berkurangan secara sederhana sederhana pada November 2022 dan seterusnya, berikutan pembetulan sedikit harga komoditi global terutamanya harga berkaitan pertanian dan rantaian bekalan semakin bertambah baik di peringkat serantau dan domestik.

 

Di samping itu, katanya, ringgit berada pada laluan pengukuhan kerana Rizab Persekutuan AS (Fed) memberi isyarat untuk kadar kenaikan kadar yang lebih perlahan pada Disember ini dan seterusnya.

 

"Pada masa sama, pembentukan kerajaan baharu juga dapat menjadi pemangkin tambahan bagi asas makroekonomi Malaysia untuk terus menyokong pengukuhan ringgit," jelasnya. -DagangNews.com