Skip to main content

Kadar inflasi di Malaysia pada Oktober menurun kepada 4%

Terdapat item makanan yang menunjukkan momentum peningkatan yang lebih perlahan berbanding September 2022. - Gambar : Adismara Putri Pradiri/Unsplash

KUALA LUMPUR 25 Nov - Kadar inflasi Malaysia pada Oktober 2022 turun kepada 4% berbanding 4.5% yang direkodkan pada September 2022, menurut Jabatan Perangkaan.

 

Bagaimanapun, kadar ini masih lagi melepasi purata inflasi negara bagi tempoh Januari 2011 hingga Oktober 2022 iaitu pada 2%.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Oktober 2022 meningkat 4% kepada 128.6 berbanding 123.7 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Katanya, bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih di rantau Asia Pasifik, kadar inflasi di Malaysia pada Oktober 2022 adalah lebih rendah berbanding inflasi di Filipina (7.7%), Thailand (6%), Indonesia (5.7%) dan Korea Selatan (5.7%).

 

“Kadar inflasi Zon Euro terus memecah rekod tertinggi sejak ia ditubuhkan dan melonjak kepada 10.7% pada Oktober 2022 daripada 9.9% pada bulan sebelumnya.

 

“Ini didorong oleh inflasi tenaga (41.9%); makanan, alkohol dan tembakau (13.1%); barangan perindustrian bukan tenaga (6%) dan perkhidmatan (4.4%),” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kadar inflasi di Amerika Syarikat (AS) mereda kepada 7.7% pada Oktober 2022 berbanding September (8.2%).

 

Di peringkat domestik, peningkatan menyederhana inflasi pada Oktober telah didorong oleh peningkatan perlahan kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain yang telah berkurangan kepada 1.5% berbanding 4% pada bulan sebelumnya.

 

 

TNB

 

 

Mohd. Uzir berkata, peningkatan perlahan ini disumbangkan oleh ketiadaan pengaruh kesan asas susulan penamatan diskaun elektrik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang bermula Julai hingga September 2021.

 

Bagaimanapun, katanya, inflasi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol terus menunjukkan peningkatan sebanyak 7.1% berbanding 6.8% yang dicatatkan pada September 2022.

 

“Terdapat item makanan yang menunjukkan momentum peningkatan yang lebih perlahan berbanding September 2022. 

 

"Antaranya ialah subkumpulan sayur-sayuran meningkat 4.8% berbanding 6.3% manakala minyak dan lemak meningkat 2.6% berbanding 3.8% pada September 2022,” katanya.

 

Selain daripada kumpulan makanan, kesemua kumpulan lain juga terus merekodkan peningkatan kecuali komunikasi yang kekal tidak berubah berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. 

 

Beliau juga berkata, inflasi teras mengukur perubahan dalam harga barang dan perkhidmatan, tidak termasuk makanan segar yang harganya tidak menentu serta harga barangan kawalan oleh kerajaan.

 

"Inflasi teras telah mencatatkan peningkatan 4.1% pada Oktober 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya," katanya.- DagangNews.com