KUALA LUMPUR 24 Feb - Kerajaan akan mengambil pendekatan yang progresif dalam konteks subsidi bersasar atau struktur percukaian bagi melindungi golongan kurang bernasib baik dan mengharapkan pemahaman rakyat yang lebih kaya untuk menggalas tanggungjawab secara bersama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata antara ikhtiar yang telahpun diperkenalkan termasuklah agihan dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang lebih kepada rakyat yang memerlukan.
Katanya, 87% ahli dengan simpanan kurang RM30,000 telah diberi dividen 5.1 sen per unit dan simpanan melebihi RM30,000 menerima dividen 4.6 sen per unit.
Selain itu, tarif elektrik telah dikekalkan bagi semua pengguna domestik dan perniagaan PKS tetapi semua syarikat besar kecuali sektor makanan dan pertanian telah dinaikkan.
Anwar berkata, kerajaan belum bercadang melaksanakan cukai kepenggunaan berasas luas seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
“Dalam keadaan rakyat terbanyak masih susah, inflasi makanan lebih 5%, kadar upah yang masih rendah, maka ternyata saat ini bukanlah ruang dan masa yang sesuai untuk memperkenal dan melaksanakannya,” ujar beliau.
Katanya, kerajaan mengambil pendekatan lebih progresif sebagai langkah baharu meluaskan asas cukai kepada mereka yang berkemampuan.
“Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan Cukai Barangan Mewah mulai tahun ini dengan had nilai tertentu mengikut jenis barang mewah, antaranya jam tangan mewah dan barangan fesyen mewah.
“Selaras amalan terbaik antarabangsa, kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai tahun 2024 pada kadar yang rendah,” katanya, sambil menambah erajaan akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkaitan untuk meneliti perincian cadangan ini.
Anwar berkata, kerajaan bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.
“Walaupun vape bernikotin masih tidak sah di sisi undang-undang, hakikatnya telah dijual secara berleluasa dan dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion.
Alangkah baik sekiranya ia dikawal selia dan dikenakan cukai supaya tidak menggalakkan penggunaan vape.,” tambahnya.
Selain itu, kerajaan menyokong ikhtiar Generational Endgame (GEG) dan bersetuju bahawa separuh daripada hasil duti eksais ini akan diperuntukkan semula kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.
“Bagi mengurangkan ketirisan, usaha penguatkuasaan agensi kerajaan akan terus dipergiat bersama-sama pihak industri bagi mengekang ketirisan hasil dan subsidi angkara sindiket penyeludupan seperti diesel, arak dan rokok,” ulas beliau.
Anwar berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan melaksanakan semula program pengakuan secara sukarela dan melalui program ini, pengampunan ke atas penalti 100% akan diberikan bagi pengakuan sukarela mulai 1 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024. -DagangNews.com








