ITMAX System lancar prospektus bagi jana RM342.4 juta daripada terbitan IPO | DagangNews Skip to main content

ITMAX System lancar prospektus bagi jana RM342.4 juta daripada terbitan IPO

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Nov - ITMAX System Berhad yang akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia  berhasrat untuk mengumpul dana sebanyak RM342.4 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO).

 

Berdasarkan prospektus ITMAX, IPO kumpulan itu melibatkan terbitan awam sebanyak 190.55 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan 129.45 juta saham sedia ada.

 

ITMAX memperuntukkan 41.7% daripada hasil yang diperoleh daripada terbitan awam untuk pengembangan aplikasi bandar pintarnya, 6.1% dan 9.8% dianggarkan untuk pengembangan keupayaan penyelidikan dan pembangunannya dan pengembangan ke pasaran perusahaan masing-masing.

 

Sebanyak 19.4% lagi telah diperuntukkan untuk pengembangan infrastruktur rangkaian dan telekomunikasi, 14.3% untuk modal kerja dan 3.9% untuk pembayaran balik pinjaman manakala baki hasil adalah untuk perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

 

Berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan kira-kira 1.03 bilion saham dan harga RM1.07 sesaham, permodalan pasaran mencapai kira-kira RM1.1 bilion.

 

Kumpulan juga bercadang untuk mengisytiharkan dividen tahunan bersamaan sekurang-kurangnya 20% daripada keuntungan selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemilik Syarikat pada asas yang disatukan.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, William Tan Wei Lun berkata, telah sekian lama berada dalam sektor sistem rangkaian ruang awam dengan sistem lampu isyarat pintar, lampu jalan pintar dan sistem pengawasan video pintar kepada portfolio kami untuk membentuk tulang belakang bagi penempatan infrastruktur bandar pintar pelanggan kami.

 

Katanya, sistem kami termasuk penggabungan dan penggunaan kecerdasan buatan dengan pembelajaran mesin dan algoritma pembelajaran mendalam untuk membantu pelanggan kami mengenal pasti acara tertentu secara automatik apabila ia berlaku yang membolehkan perancangan serta pengurusan bandar yang lebih baik.

 

"Penyenaraian ITMAX di Bursa Malaysia adalah sebahagian daripada perancangan kami untuk berkembang dan kami sedang berusaha untuk meningkatkan bahagian pasaran kami di wilayah tengah bagi menerokai segmen baharu dengan menyediakan sistem rangkaian untuk projek pembangunan perbandaran kediaman dan pembangunan komersial.

 

"Bagi memudahkan pengembangan pasaran ini, ITMAX merancang untuk terus meluaskan rangkaian komunikasi gentian optik kami serta menyediakan kemudahan pusat data di Lembah Klang.

 

"ITMAX akan terus mengembangkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan kami yang penting untuk memastikan penemuan berterusan dalam teknologi untuk penyelesaian bandar pintar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Bahagian terbitan awam IPO akan disediakan mulai 25 November 2022 dan akan ditutup pada 1 Disember 2022 pada pukul 5.00 petang.

 

Maybank Investment Bank dilantik sebagai penasihat utama, penaja jamin urusan dan penaja jamin bersama untuk IPO manakala CIMB Investment Bank ialah penaja jamin bersama dan AmInvestment Bank ialah penaja jamin bersama untuk terbitan itu. - DagangNews.com