Hong Leong Bank tawar ekosistem tanpa tunai untuk 16 sekolah menerusi program HLB@School | DagangNews Skip to main content

Hong Leong Bank tawar ekosistem tanpa tunai untuk 16 sekolah menerusi program HLB@School

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Dis - Hong Leong Bank (HLB) dan Hong Leong Islamic Bank (HLISB) meraikan 16 buah sekolah di Sabah yang diiktiraf sebagai sekolah tanpa tunai oleh Payment Networks Malaysia Sdn Bhd (PayNet).

 

Sekolah tanpa tunai terbabit adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Likas, SJKC St James Kota Kinabalu, Sekolah Menengah (SM) Lok Yuk Likas, SJKC Lok Yuk Menggatal, Sekolah Kebangsaaan (SK) Api-Api dan SM Tinggi Kota Kinabalu.

 

Selain itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Likas, SM Shan Tao, SM All Saints, SK Lok Yuk Likas, SJKC Che Hwa Kolombong, SJKC Yue Min Penampang, SK St Francis Convent KK, SK Pangkalan TLDM KK dan SK Malawa.

 

HLB dalam satu kenyataan berkata, program ‘HLB@School’ yang dilancarkan pada Oktober 2020, menyokong transformasi digital sekolah di Malaysia dengan menyediakan pembayaran tanpa tunai, alat perbankan digital dan infrastruktur kewangan kepada sekolah dan pelajar. 

 

Menurutnya, untuk memudahkan transformasi digital ini, pelajar sekolah dilengkapi dengan Akaun Junior 3-dalam-1 HLB, yang disertakan dengan akaun simpanan dengan deposit tetap, dan kad debit boleh tambah nilai yang membolehkan mereka membuat pembayaran tanpa tunai di sekolah mereka. 

 

"Dengan Kad Debit HLB/HLISB, membeli makanan di kantin, membayar yuran sekolah atau membeli buku adalah lebih mudah untuk pelajar hanya dengan mengetik kad mereka di terminal POS.

 

"Selain itu, ia dilengkapi dengan akses kepada aplikasi HLB Pocket Connect, platform perbankan digital interaktif pertama dalam pasaran untuk pelajar dan ibu bapa mereka," katanya.

 

 

hlb

 

 

Katanya, ini memberikan pelajar penghargaan yang lebih mendalam tentang nilai wang dan memperkasakan mereka untuk mengawal kewangan mereka. 

 

Begitu juga, ibu bapa boleh mengurus dan memantau akaun bank anak-anak mereka pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja melalui platform perbankan dalam talian dan digital HLB Connect, katanya.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif HLISB, Jasani Abdullah, program HLB@School menjangkau lebih daripada sekadar membolehkan transformasi digital sekolah.

 

"Objektif yang lebih penting adalah untuk memacu celik kewangan, menggalakkan rangkuman kewangan dan menerapkan penjagaan alam sekitar pada usia muda," katanya.

 

Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kad di PayNet, Azrul Fakzhan berkata, pihaknya memuji usaha HLB dalam mendidik dan menggalakkan celik kewangan dan digital dalam kalangan anak muda selaras dengan aspirasi PayNet untuk pembayaran tanpa tunai inklusif dan boleh diakses kepada semua rakyat Malaysia. - DagangNews.com