Harga jualan, kadar faedah jejaskan untung bersih Guan Chong pada suku keempat, susut hampir 60% kepada RM20.3 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga jualan, kadar faedah jejaskan untung bersih Guan Chong pada suku keempat, susut hampir 60% kepada RM20.3 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Feb - Harga purata jualan yang lebih rendah dan kadar faedah tinggi telah menjejaskan prestasi kewangan Guan Chong Bhd. pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022, yang menyaksikan keuntungan bersih susut 59.5% kepada RM20.3 juta, berbanding RM50.1 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, pendapatan syarikat pengisar koko keempat terbesar dunia itu meningkat 3.8% kepada RM1.13 bilion daripada RM1.09 bilion bagi tempoh sama 2021, didorong jualan peningkatan 6.8% jualan bagi tahun ke tahun dan harga purata jualan serbuk koko yang lebih tinggi. 

 

Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2022 (FY22), keuntungan bersih Guan Chong susut kepada RM148.95 juta daripada RM154.84 juta manakala pendapatan meningkat kepada RM4.42 bilion daripada RM3.92 bilion.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Guan Chong, Brandon Tay Hoe Lian berkata, pretasi pada suku keempat mencerminkan persekitaran masih kekal mencabar bagi kumpulan untuk mengekalkan margin pengisaran ekoran harga mentega koko yang rendah dan kadar faedah tinggi.

 

"Bagaimanapun, kami telah mengukuhkan model perniagaan memandangkan kemudahan pengisaran baharu di Ivory Coast sudah pun beroperasi.

 

"Ini membolehkan kami membekalkan bahan koko dari Ivory Coast bukan sahaja kepada kilang Jerman kami tetapi juga seluruh Eropah, supaya kami boleh menyasarkan permintaan coklat premium di sana dan mengoptimumkan keuntungan sebagai sebuah kumpulan," jelasnya.

 

Sementara itu, anak syarikat coklat industri kumpulan di Jerman, Schokinag-Schokolade-Industrie GmbH (Schokinag), menyaksikan kos tenaga semakin berkurangan sejajar dengan harga gas asli dan minyak yang lebih rendah.

 

Akibatnya, Schokinag kembali mencatat keuntungan pada suku keempat daripada kerugian kecil pada suku ketiga berikutan kos tenaga yang lebih tinggi disebabkan tercetusnya konflik Rusia-Ukraine.

 

Namun, menurut Brandon, kumpulan akan kekal fokus pada laluan pertumbuhan dengan mengukuhkan lagi kedudukan sebagai pengisar koko keempat terbesar dunia, dan mengekalkan peranan sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan coklat global. - DagangNews.com