Google beri penghormatan kepada tokoh animasi negara Kamn Ismail | DagangNews Skip to main content

Google beri penghormatan kepada tokoh animasi negara Kamn Ismail

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Feb - Google Doodle hari ini meraikan hari kelahiran ke-67 Allahyarham Kamarudin Ismail atau lebih dikenali sebagai Kamn Ismail, popular dengan siri animasi Usop Sontorian dan Keluang Man, yang merupakan seorang tokoh terkemuka dalam dunia animasi Malaysia. 

 

Google dalam satu kenyataan berkata, lebih khusus lagi, beliau merupakan seorang perintis dalam penggunaan teknologi komputer dan aplikasi digital dalam animasi pada 90-an.

 

Menurutnya, Kamn dilahirkan di Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka, pada tahun 1956 dan mendapat pendidikan awal di Methodist Boys’ School, Sentul, Kuala Lumpur. 

 

Katanya, minat beliau dalam seni dan lukisan bermula sejak beliau masih bersekolah dan apabila beliau sudah dewasa, Kamn bekerja dengan sebuah syarikat yang berpangkalan di UK, McMillen Film Company, untuk menghasilkan filem “Paper Tiger” yang dikeluarkan pada tahun 1975. 

 

"Memandangkan industri animasi tempatan masih belum menjadi sebuah industri yang berjaya pada masa itu, Kamn terpaksa mengetepikan minatnya terhadap seni dan mengambil pekerjaan lain, termasuk menjadi seorang kerani pentadbiran bersama Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB)," katanya.

 

Google berkata, selepas memegang beberapa jawatan dalam syarikat itu selama 17 tahun, Kamn mengambil keputusan untuk beredar demi meneruskan minatnya dalam animasi.

 

Katanya, apabila komputer dan teknologi mendapat daya tarikan pada tahun 80-an, Kamn menjadi begitu berminat untuk mengembangkan penggunaan komputer untuk tujuan melukis dan cuba menghasilkan animasi kartun yang lebih canggih. 

 

 

kamn
                                                                  Kamn Ismail

 

 

"Beliau sering merujuk kepada teknik animasi Walt Disney yang menekankan kualiti, namun pembiayaan merupakan suatu masalah. Beliau memutuskan untuk mencari cara yang lebih mudah dan pantas untuk mencipta animasinya sendiri sambil mengekalkan kualitinya. 

 

"Pada tahun 1989, dengan bantuan dan keyakinan Syarikat Mega Universal Sdn Bhd, Kamn telah ditugaskan untuk mencipta persembahan 2D dan 3D untuk pelancaran produk, bagi syarikat-syarikat swasta dan badan-badan kerajaan," katanya.

 

Tambah kenyataan itu, dari tahun 1991 hingga 1997, Kamn menyertai Kharisma Pictures (M) Sdn Bhd untuk membentuk dan melatih kumpulan juruanimasi pertama untuk mencipta siri animasi pertama bertajuk Usop Sontorian. 

 

Ujarnya, kerja keras mereka membuahkan hasil apabila siri animasi itu dikeluarkan untuk tontonan umum di TV1 RTM dan menjadi hit segera di seluruh Malaysia serta meningkatkan keyakinan bagi industri animasi tempatan pada masa itu. 

 

 

kamn

 

 

"Pada tahun 1996, Kamn mewakili delegasi Malaysia ke Festival Animasi Antarabangsa ke-6 yang diadakan di Hiroshima, Jepun, yang mana beliau telah diberi peluang untuk memberi kesedaran mengenai dunia animasi di Malaysia dan mempamerkan siri Usop Sontorian kepada seluruh dunia.

 

Katanya, Kamn kemudiannya menyertai UAS Animation Studios (M) Sdn Bhd sebagai salah seorang pengarahnya pada tahun 1997 untuk menghasilkan siri animasi popular, justeru ‘Keluang Man’ dihasilkan pada tahun sama. 

 

Kamn turut meraih pelbagai pengiktirafan, antaranya Tokoh Penggiat Kartun 2012 atas pencapaian menghasilkan siri animasi, selain menjawat sebagai pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) yang mana beliau berkhidmat hingga ke akhir hayat. - DagangNews.com