ELK-Desa Resources di landasan mencapai tahap pra-COVID namun menyederhana, kata TA Securities | DagangNews Skip to main content

ELK-Desa Resources di landasan mencapai tahap pra-COVID namun menyederhana, kata TA Securities

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Mac - ELK-Desa Resources Berhad berada di landasan untuk mencapai tahap pra-COVID berikutan pembukan semula ekonomi yang menyaksikan pemulihan penghutang sewa beli dan permintaan pengguna bertambah baik.

 

Menurut TA Securities, penghutang sewa beli meningkat kepada RM560.3 juta atau 19% tahun ke tahun (YoY) pada Disember 2022 iaitu pertumbuhan yang melepasi ramalan pengurusan secara sederhana kira-kira 8 hingga 10% disebabkan kewaspadaan berterusan terhadap tekanan inflasi dan kenaikan kadar dasar.

 

“Kami meramalkan peningkatan tersebut mungkin sederhana dan berkembang pada kadar perlahan namun stabil sebanyak 8% kepada RM606.6 juta dan RM655.1 juta masing-masing pada FY24 dan tahun kewangan 2025 (FY25), dengan mengambil kira peningkatan ketara tahun lalu dan jangkaan pengurusan,” kata firma itu dalam nota hari ini.

 

Tambahnya, ramalan 8% itu munasabah memandangkan syarikat itu berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) empat tahun sekitar 7%.

 

Di samping itu, elaun rosot nilai syarikat menjadi normal disebabkan penambahbaikan caj kerugian kredit sepanjang FY23 yang berkurang YoY daripada 2.92% kepada 0.04% dalam keputusan suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) berikutan peningkatan aktiviti ekonomi.

 

“Menjelang FY24, pembalikan rosot nilai tambahan tidak mungkin berlaku dan kutipan akan kembali normal dalam beberapa suku akan datang manakala caj kerugian kredit kekal dengan andaian konservatif sebanyak 3.0% untuk FY24 dan FY25 berbanding 0% FY23 dan purata caj kerugian kredit tiga tahun (FY20-22) sebanyak 3.8%,”katanya

 

Segmen perniagaan perabot ELK-Desa mempunyai prospek pertumbuhan yang lebih baik dengan peningkatan pendapatan direkodkan melonjak kepada RM40.4 juta pada FY21 daripada RM29.1 juta FY22.

 

Syarikat itu juga mengembangkan segmen itu melalui kerjasama dengan peniaga perabot dan mengoptimumkan kemahiran pengurusan stok dan logistik.

 

Walaupun kunci kira-kira sedikit, firma itu menjangkakan peningkatan peminjaman sepanjang FY24 dan FT25 melalui pengeluaran kemudahan pendiskaun blok dan kemungkinan terbitan nota jangka sederhana (MTN) justeru mendorong peningkatan tahap penggearan kumpulan.

 

“Secara keseluruhan, kami melaraskan unjuran keuntungan bersih FY24 dan FY25 kepada RM42.3 juta dan RM43.3 juta daripada RM45.0 dan RM45.8 juta manakala untung bersih FY23 dikekalkan sekitar RM51.3 juta,” katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan nilai saksama (FV) RM1.18. -DagangNews.com