DNeX, MIMOS teroka kerjasama dalam projek pendigitalan kerajaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DNeX, MIMOS teroka kerjasama dalam projek pendigitalan kerajaan

Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir (kiri) bertukar dokumen dengan Datuk Seri Ibrahim Ahmad pada majlis menandatangani MoU hari ini
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Feb - Dagang NeXchange Bhd (DNeX) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan MIMOS Bhd untuk meneroka projek strategik kerajaan, hari ini.

 

MoU tersebut memberi peluang untuk memanfaatkan projek dan inisiatif strategik kerajaan ke arah pembangunan keupayaan teknologi digital, pembangunan perisian, rangkaian, penyepaduan sistem, perkhidmatan perundingan, pengkomputeran awan dan revolusi perindustrian (IR) 4.0.

 

Di bawah kerjasama tersebut, kedua-dua syarikat akan menjalankan aktiviti pembangunan bersama, ujian lapangan, pemindahan teknologi dan pengkomersialan produk teknologi dan pertukaran kakitangan untuk tempoh tertentu bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan. 

 

Selain itu, aktiviti pembelajaran turut dilakukan seperti pengajaran, perkongsian pengetahuan dan latihan serta lawatan sambil belajar, amali atau penempatan.

 

Kerjasama itu turut membuka jalan kepada kedua-dua syarikat untuk mengambil bahagian dalam projek mega teknologi maklumat (IT), memanfaatkan keupayaan dan kepakaran masing-masing, mencipta nilai luar biasa dan memudahkan pemindahan teknologi separa dan mahir.

 

Pengerusi Eksekutif DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, kerjasama tersebut membolehkan kedua-dua pihak memanfaatkan pengetahuan teknologi masing-masing untuk menyediakan penyelesaian komprehensif untuk pelbagai projek IT termasuk meningkatkan dan memajukan operasi dan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

 

“Ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mengurangkan kerenah birokrasi, menambah baik kecekapan dan menangani isu kebocoran dan pembaziran di samping meningkatkan pendapatan di seluruh operasinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau juga menyatakan hasrat kedua-dua syarikat itu untuk menjadi batu loncatan bagi mempercepatkan transformasi digital di negara ini dengan memanfaatkan tawaran dan teknologi mereka secara meluas.

 

Sementara itu, Pengerusi MIMOS, Datuk Seri Ibrahim Ahmad mengulas lanjut peranan MIMOS sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan gunaan (R&D) negara untuk menerajui inovasi teknologi dalam meningkatkan daya saing negara, memacu transformasi industri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

 

“Saya percaya kerjasama ini penting kerana ia membolehkan MIMOS meluaskan lagi jangkauannya dalam mencapai matlamat utama untuk menawarkan penyelesaian teknologi kepada industri, membangunkan syarikat dan bakat tempatan, mewujudkan teknousahawan dan pekerjaan serta mengubah Malaysia menjadi pemain global,” katanya. -DagangNews.com