Citaglobal dapat kelulusan pemegang saham ambil alih 100% pegangan dalam CESSB berharga RM140 juta | DagangNews.com Skip to main content

Citaglobal dapat kelulusan pemegang saham ambil alih 100% pegangan dalam CESSB berharga RM140 juta

Citaglobal Bhd. mahu merebut peluang dalam pelancaran 5G Malaysia. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 6 Okt - Citaglobal Bhd. (sebelum ini dikenali WZ Satu Bhd.) memperoleh kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) hari ini untuk mengambil alih keseluruhan kepentingan Citaglobal Engineering Services Sdn. Bhd. (CESSB) pada harga RM140 juta. 

 

Pengambilalihan itu yang dijangka selesai suku keempat ini akan dilaksanakan menerusi terbitan 736.84 juta saham baharu dengan harga terbitan 19 sen sesaham. 

 

Pada Jun lalu, Citaglobal yang sebelum ini dikenali WZ Satu Bhd. mengumumkan telah memeterai perjanjian pembelian saham dengan TIZA Global Sdn. Bhd. (dahulunya dikenali sebagai Citaglobal Sdn. Bhd.) untuk cadangan pengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam CESSB.

 

Selain itu, pemegang saham turut meluluskan cadangan penyatuan setiap lima saham Citaglobal sedia ada kepada satu saham Citaglobal pada tarikh kelayakan yang akan ditentukan kemudian.

 

Pengambilalihan itu juga akan memberi jaminan keuntungan bersih sebanyak RM60 juta dalam tempoh tiga tahun kewangan, bermula dari tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY24.

 

 

Mohamad Norza Zakaria
MOHAMAD NORZA ZAKARIA

 

 

Pada masa sama, ia turut menyaksikan pengerusi eksekutif kumpulan dan presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang juga pengarah tunggal dan pemegang saham TIZA Global, meningkatkan pegangannya dalam syarikat itu daripada 16.51% kepada 47.03% selepas selesai langkah berkenaan.

 

Mengenai prospek masa depan, Mohamad Norza berkata, terdapat banyak peluang dalam pelancaran rangkaian 5G Malaysia yang membolehkan kumpulan terlibat dalam membangunkan menara telekomunikasi 5G di seluruh negara.

 

"CESSB ialah penyedia kemudahan rangkaian berlesen yang berpengalaman dalam kerja-kerja pemasangan.

 

"Oleh itu, Citaglobal merancang untuk mengambil bahagian dalam projek tertentu yang dikenal pasti dalam sektor pembinaan dan telekomunikasi, yang memerlukan perkhidmatan nilai tambah tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

BACA: Yang di-Pertuan Agong kini miliki 12.4% ekuiti di dalam Citaglobal Berhad

 

Nilai kontrak Citaglobal akan meningkat kepada RM984.7 juta daripada RM754.5 juta apabila langkah pengambilalihan itu selesai.

 

Jumlah awal RM754.5 juta terdiri daripada nilai kontrak Citaglobal setakat 30 Jun 2022 sebanyak RM381 juta, dan kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) sebanyak RM373.5 juta untuk reka bentuk, pembinaan dan kelengkapan Fasa 1 Pelabuhan Perlis yang diperoleh pada 30 Ogos daripada Inland Port Perlis Sdn. Bhd.

 

CESSB ialah kontraktor Gred 7 yang mempunyai pengalaman lebih sepuluh tahun dalam pembinaan, perkhidmatan mekanikal dan kejuruteraan, pengurusan projek dan kemudahan serta telekomunikasi, antara lain.

 

Sementara itu, CESSB kini sedang melaksanakan pelbagai projek dengan sasaran jumlah nilai projek kira-kira RM1.66 bilion. - DagangNews.com