Caely: Pelantikan Virdos Lima bukti bekas lembaga pengarah sedar masalah dalaman syarikat | DagangNews Skip to main content

Caely: Pelantikan Virdos Lima bukti bekas lembaga pengarah sedar masalah dalaman syarikat

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 6 Okt – Caely Holdings Berhad, yang kini terdiri daripada Lembaga Pengarah baharu telah membuat laporan polis untuk mendapatkan bantuan lanjut daripada pihak berkuasa supaya menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana berjumlah RM30.55 juta melibatkan anak syarikat milik penuh, Caely (M) Sdn Bhd (CMSB) sepanjang tempoh perkhidmatan ahli lembaga pengarah terdahulu.

 

Rujukan dibuat kepada kes yang difailkan di Mahkamah Tinggi Ipoh dengan No. Kes Sivil: AA-22NCvC-66-08/2022 yang berkaitan dengan dakwaan penyelewengan dana terutamanya oleh Datin Fong Nyok Yoon dan Datuk Chuah Chin Lai berhubung jumlah sekitar RM30.55 juta.

 

Caely seterusnya menyatakan dalam laporan polis mengenai syak wasangkanya bahawa terdapat muslihat/usaha untuk menutup penyelewengan berkaitan oleh Lembaga Pengarah terdahulu yang terdiri daripada mereka yang berada di dalam syarikat dalam tempoh di mana transaksi tidak teratur itu berlaku sebelum pelantikan ahli Lembaga Pengarah baharu pada 29 Ogos 2022.

 

Ini kerana siasatan forensik telah dimulakan oleh Lembaga Pengarah terdahulu melalui pelantikan Virdos Lima Consultancy (M) Sdn Bhd pada April lalu.


 

Dato' Wira Ng Chun Hau
        Dato' Wira Ng Chun Hau

 


"Lembaga Pengarah sebelumnya Pengarah, terutamanya Pengerusi Dato' Wira Ng Chun Hau yang memulakan penyiasatan forensik, telah gagal memberi kerjasama sepenuhnya, meletak jawatan secara mengejut dan nampaknya cuba menggagalkan sebarang penyiasatan undang-undang yang diperlukan.

 

"Pelantikan Virdos Lima oleh bekas Lembaga Pengarah menunjukkan bahawa ahli pada masa itu sedar mengenai penyelewengan tersebut," kata Caely dalam kenyataan di sini.

 

BACA: Caely failkan laporan polis terhadap 12 bekas pengarah termasuk pengasas syarikat

 

Oleh yang demikian, Caely telah meminta Polis menyiasat unsur jenayah dan salah laku yang menyebabkan kerugian kepada Caely dan juga penyembunyian kesalahan tersebut oleh ahli Lembaga Pengarah terdahulu. - DagangNews.com