Skip to main content

BNM : Hutang isi rumah hampir menyamai paras sebelum pandemik pada 84.5% 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Okt - Nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hampir menyamai paras sebelum pandemik COVID-19 pada 84.5%, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Berdasarkan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2022 yang dikeluarkan hari ini, ia berkata, institusi perbankan terus mengekalkan piawaian pinjaman dengan berhemat di tengah-tengah pemulihan yang berterusan dalam pinjaman isi rumah. 

 

Langkah itu, katanya, membantu mengekalkan penampan pinjaman yang sihat dalam kalangan isi rumah dan keupayaan mereka untuk menguruskan kesan pinjaman yang lebih tinggi dan juga kos-kos lain.

 

Bank pusat mendapati bahagian hutang isi rumah di bawah bantuan pembayaran balik telah menurun dengan ketara daripada 18.8% pada Disember 2021 kepada 2.4% pada Jun 2022, dengan bahagian hutang isi rumah yang lebih rendah dilaporkan oleh bank mempunyai risiko kredit yang lebih tinggi.

 

"Nisbah pinjaman terjejas dan delinkuen isi rumah meningkat sedikit tetapi terus kekal rendah dan dalam jangkaan pada masing-masing 1.2% dan 0.6%. 

 

"Sesetengah segmen peminjam isi rumah dengan leveraj yang tinggi dan penampan kewangan yang terhad mungkin mengalami tekanan kewangan akibat kenaikan kos sara hidup dan pembayaran balik yang lebih tinggi bagi pinjaman kadar terapung," katanya dalam laporan berkenaan.

 

 

BNM
SUMBER : Laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2022, Bank Negara Malaysia

 

 

Menurut BNM, peminjam di bawah tempoh lanjutan bantuan pembayaran balik juga berkemungkinan menghadapi risiko yang lebih tinggi.

 

Namun, katanya, risiko yang berkaitan dengan peminjam tersebut dijangka dapat dibendung memandangkan bahagian pinjaman isi rumah yang diklasifikasikan oleh bank sebagai menunjukkan risiko kredit yang lebih tinggi (pinjaman Peringkat 2) terus menurun kepada 7.9% (berbanding 8.5% pada Disember 2021).

 

"Ia dijangka terus menurun sepanjang tahun ini apabila lebih ramai peminjam yang telah keluar daripada program bantuan pembayaran balik melengkapkan tempoh minimum 'pemerhatian' pinjaman. 

 

"Dalam hal ini, bank telah mengetepikan penampan peruntukan yang mencukupi terhadap risiko ini," jelasnya.

 

Pada masa sama, tambahnya, institusi perbankan juga terus memberikan sokongan sewajarnya kepada peminjam isi rumah yang masih menghadapi cabaran kewangan. 

 

 

gambar hiasan

 

 

Sementara itu, bagi perniagaan pula, prestasi kewangannya terus meningkat sejajar dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sempadan antarabangsa. 

 

Bagaimanapun, BNM berkata, pemulihannya masih tidak sekata dan perlahan dalam sesetengah subsektor ekonomi.

 

Ia juga mendapati rosot nilai pinjaman perniagaan masih rendah pada 1.1% daripada jumlah sistem pinjaman perbankan. 

 

Bahagian pinjaman perniagaan dengan risiko kredit yang lebih tinggi terus menurun kepada 14.4% daripada jumlah pinjaman perniagaan sejajar dengan peningkatan beransur-ansur dalam perniagaan. 

 

"Pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah bantuan bayaran balik telah berkurangan kepada 13.1% daripada jumlah pinjaman PKS (atau 2.3% daripada jumlah pinjaman daripada sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan). 

 

"PKS yang telah keluar daripada program bantuan pembayaran balik sebahagian besarnya dapat meneruskan pembayaran balik pinjaman mereka," katanya.

 

Bank pusat menjangkakan perniagaan akan terus berdepan ketidaktentuan termasuklah persekitaran kewangan global yang ketat dan perkembangan kadar tukaran. 

 

Bagaimanapun, katanya, kemungkiran perniagaan tambahan di bawah simulasi senario tekanan teruk dijangka kekal terurus.

 

"Lebih penting lagi, pelbagai program pengurusan hutang disasarkan kekal untuk PKS yang masih mengalami cabaran kewangan sementara," jelas BNM. -DagangNews.com