Blueshark perkenal skuter elektrik pintar berteknologi tinggi siri R berharga RM7,190 | DagangNews Skip to main content

Blueshark perkenal skuter elektrik pintar berteknologi tinggi siri R berharga RM7,190

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Mac - Anak syarikat Sharkgulf Technologies Group dan pembekal skuter elektrik pintar tercanggih dunia, Blueshark hari ini memperkenalkan skuter siri R1 dan R1 Lite, untuk pasaran Malaysia.

 

Skuter elektrik pintar Blueshark R1 membawakan teknologi bateri yang telah dipaten, di samping ciri-ciri perintis dan pelbagai opsyen pemilikan bagi menganjak paradigma kenderaan elektrik di Malaysia.

 

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (ASEAN) Blueshark Ecosystem Sdn Bhd, Jin Chan berkata, skuter siri R Blueshark merupakan sebuah kemuncak dalam usaha untuk membawakan penyelesaian lestari dan inovatif ke pasaran mobiliti urban. 

 

"Berbekalkan teknologi penukaran bateri serta aneka teknologi perintis, kami sedang memperkenalkan sebuah produk lebih hebat, namun mampu milik, bagi meluaskan aksesibiliti skuter elektrik pintar untuk seluruh lapisan masyarakat. 

 

"Kami percaya bahawa Blueshark R1 memainkan peranan penting dalam menggalakkan mobiliti urban hijau menerusi penerimagunaan kenderaan elektrik beroda dua (2WEV) secara massa," katanya dalam kenyataan.

 

Terdahulu, menerusi Program Rintis Blueshark, seramai 50 penunggang khidmat penghantaran barangan/makanan membawa pulang skuter elektrik pintar R1 untuk menguji keupayaannya selama sebulan di jalan raya, serta menguji rangkaian Blueshark BlueStation (Stesen Penukaran Bateri) di stesen-stesen Petronas terpilih. 

 

Dengan skuter elektrik pintar Blueshark R1, penunggang dapat menikmati jarak operasi yang mengagumkan, iaitu sejauh 110 kilometer (km) setelah dicas penuh (NEDC), dengan kelajuan tertingginya yang mencecah 80km/j, berserta puncak tork bernilai 201Nm. 

 

 

BLUESHARK

 

 

BLUESHARK

 

 

Skuter elektrik pintar ini dikuasakan oleh motor magnet tetap elektrik 5000w yang berkelajuan tinggi di samping dua pek bateri litium besi fosfat (LFP) yang boleh ditukar ganti dengan segera di mana-mana stesen penukar bateri Blueshark (BlueStation) atau dicas penuh dalam tempoh 3.5 jam. 

 

Disediakan dengan lima mod tunggangan yang meliputi 'Walk Assist Mode (WAM)' dan mod-mod Turbo, Blueshark R1 juga lengkap dengan sistem operasi pintar 'ArkRide®', dengan sambungan Bluetooth, navigasi GPS, pemain media, pengemaskinian OTA, perakam tunggangan dan banyak lagi, melalui papan pemuka HD IPS berwarna 10.4 inci mesra pengguna.

 

 

BLUESHARK

 

 

BLUESHARK

 

 

Untuk menaik taraf aksesibiliti ke atas mobiliti urban hijau buat seluruh rakyat Malaysia, skuter elektrik pintar Blueshark R1 akan ditawarkan bersama pelbagai opsyen pemilikan, termasuk pembelian terus di samping pakej-pakej langganan menarik dan juga pek bateri yang boleh ditukar ganti. 

 

Dalam pada itu, skuter siri R Blueshark dijual dengan harga atas jalan bermula RM7,190 untuk R1 Lite, manakala R1 berharga RM9,930  tanpa insurans dengan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

 

Blueshark juga menawarkan pakej sewaan korporat dengan harga bermula RM487 sebulan untuk siri R1 Lite dan RM547 sebulan bagi siri R1. - DagangNews.com