Bekas Ketua Pengarah JPA dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Ingenieur Gudang Bhd | DagangNews Skip to main content

Bekas Ketua Pengarah JPA dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Ingenieur Gudang Bhd

Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman

KUALA LUMPUR 14 Okt - Bekas ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif oleh Ingenieur Gudang Bhd, berkuat kuasa serta-merta.

 

Mohd Khairul, 60, berkhidmat sebagai ketua pengarah JPA dari Oktober 2019 hingga Januari 2022. Sebelum itu, beliau merupakan ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan.

 

Beliau memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam pada 1988 dan berkhidmat di pelbagai kementerian dalam tempoh 34 tahun, termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Kementerian Pendidikan serta perwakilan Malaysia di Tokyo dan London.

 

Mohd Khairul kini merupakan pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Agensi Kelayakan Malaysia dan MMAG Holdings Bhd.

 

Beliau juga menganggotai lembaga pengarah Westports Holdings Bhd, menurut syarikat itu dalam pemakluman di Bursa Malaysia.

 

Menurut Ingenieur Gudang, beliau pernah berkhidmat di pelbagai lembaga termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kumpulan Wang Persaraan Inc (KWAP), Prasarana Malaysia Bhd, Keretapi Tanah Melayu Bhd dan Malaysia Airports Holdings Bhd.

 

Dahulunya dikenali sebagai Dynaciate Group Bhd, Ingenieur Gudang yang tersenarai di Pasaran Utama dan anak-anak syarikatnya terlibat terutamanya dalam perniagaan pembinaan di mana kumpulan itu menyediakan kerja-kerja dan perkhidmatan sivil, mekanikal utama, seni bina, pemasangan paip dan pemasangan. - DagangNews.com