BDB beli saham Gemi Puncak, Gemi Puncak Quarry pada harga RM13 juta | DagangNews Skip to main content

BDB beli saham Gemi Puncak, Gemi Puncak Quarry pada harga RM13 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mac - Bina Darulaman Berhad (BDB) menerusi anak syarikatnya, BDB Infra Sdn. Bhd. (BDB Infra) menandatangani perjanjian jual beli saham Gemi Puncak Sdn. Bhd. dan Gemi Puncak Quarry Sdn. Bhd. pada harga RM13 juta.

 

Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata, perancangan pengambilalihan berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi pertumbuhan perniagaan kumpulan itu terutamanya melibatkan bahagian Kejuruteraan, Pembinaan dan Kuari (ECQ).

 

“Rancangan pengambilalihan itu juga akan meningkatkan lagi portfolio Kumpulan BDB dan memberi sumbangan positif kepada aset bersih dan aset bersih sesaham syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

 

“Di samping itu, ia juga dijangka turut memberi impak kepada pendapatan per saham syarikat untuk tempoh kewangan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian jualan saham berkenaan yang berlangsung di Raia Hotel & Convention Centre Alor Setar.

 

Raja Shahreen berkata, Gemi Puncak Quarry yang terletak di Ulu Melaka, merupakan kuari granit yang terbesar di Langkawi yang berkeluasan 24.2 hektar.

 

“Kuari berkenaan memiliki jumlah pengeluaran tahunan sebanyak 240,000 tan metrik dan sekaligus akan menambah portfolio kuari Kumpulan BDB selepas Kuari Bukit Perak di Pendang, Kedah.

 

“Menjadi harapan kami untuk menjadi pembekal produk kuari utama di Langkawi dan sekaligus dapat memastikan penawaran barangan kuari yang berkualiti dan mencukupi untuk pembangunan di Langkawi pada masa akan datang,” katanya. - DagangNews.com