Bajet 2023 : Bantuan one-off RM500 untuk ibu lahir anak pada 2023, pelepasan cukai RM3,000 yuran taska berdaftar | DagangNews Skip to main content

Bajet 2023 : Bantuan one-off RM500 untuk ibu lahir anak pada 2023, pelepasan cukai RM3,000 yuran taska berdaftar

KUALA LUMPUR 7 Okt - Bagi meningkatkan kadar kelahiran dan dalam masa yang sama mengurangkan masalah kanak-kanak bantut, di bawah inisiatif CahayaMata Keluarga Malaysia, ibu daripada isi rumah penerima BKM yang melahirkan anak pada tahun 2023 akan diberikan bantuan tunai one-off sebanyak RM500 dengan peruntukan RM150 juta.

 

"Jadi saya rasa, masih sempatlah lagi untuk ambil peluang mendapatkan zuriat pada tahun hadapan.

 

"Tapi kenalah ingat bahawa bantuan ini hanya kepada ibu dan bukan kepada bapa, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau berkata, menurut Jabatan Perangkaan, kadar fertiliti negara pada 1970 ialah 4.9 orang bayi untuk setiap wanita, namun kini telah jatuh ke tahap terendah iaitu 1.7 orang bayi.

 

Sementara itu kata beliau, kanak-kanak daripada keluarga susah khususnya, berdepan dengan masalah malpemakanan sehingga mengganggu tumbesaran mereka lebih-lebih lagi sejak COVID-19 melanda.

 

Tengku Zafrul berkata, aspek kebajikan kanak-kanak akan terus dititikberatkan.

 

"Kerajaan menyediakan RM188 juta bagi program pendidikan awal kanak-kanak di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat atau KEMAS. Ini termasuk pembinaan 10 buah taska KEMAS termasuk tiga projek baharu di Port Dickson, Negeri Sembilan, Limbang, Sarawak dan Pasir Putih, Kelantan.

 

"Bagi meringankan beban kewangan ibu bapa yang memberikan pendidikan awal anak-anak, Kerajaan bersetuju melanjutkan sehingga tahun taksiran 2024 pelepasan cukai sehingga RM3,000 ke atas bayaran yuran TASKA dan TADIKA berdaftar," ujarnya. - DagangNews.com