Bajet 2023: Skim MySalam kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia diteruskan ke tahun 2023 | DagangNews Skip to main content

Bajet 2023: Skim MySalam kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia diteruskan ke tahun 2023

KUALA LUMPUR 7 Okt - Kerajaan akan meneruskan skim MySalam kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sepanjang 2023.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata skim itu akan diteruskan dengan membuka kepada syarikat insurans dan takaful untuk bersama-sama memastikan kesinambungan MySalam.

 

"Sejak 2019, MySalam telah meluluskan tuntutan berkaitan penyakit kritikal dan hospitaliti berjumlah RM734 juta kepada 1.5 juta individu B40.

 

"Ini termasuk 500,000 individu yang menerima pampasan disebabkan COVID-19 dengan nilai keseluruhan RM330 juta," katanya ketika membentangkan Bajet 2023, hari ini.

 

Selain itu, Baucar Perlindungan Tenang telah memanfaat lebih tiga juta penerima BKM dan akan diteruskan melalui kaedah perkongsian kos.

 

Ia turut diperluas kepada pembelian produk perlindungan bencana banjir untuk rumah kediaman. - DagangNews.com