Axiata catat kerugian bersih RM52.4 juta bagi 3QFY22 | DagangNews Skip to main content

Axiata catat kerugian bersih RM52.4 juta bagi 3QFY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Nov - Axiata Group Berhad mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM52.4 juta bagi 3QFY22 berbanding untung bersih RM349.56 juta pada suku yang sama tahun lalu dan ia merupakan kerugian suku tahun ketiga berturut-turut.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pendapatan terkini kumpulan terkesan oleh kerugian tukaran mata wang asing yang ketara sebanyak RM346.7 juta, susut nilai dan pelunasan yang lebih tinggi, yuran tambahan (bersih daripada akruan) dan penalti yang dikenakan untuk penggunaan peralatan pada tahun-tahun sebelumnya sebanyak RM151.6 juta yang direkodkan oleh operasi mudah alih di Kemboja serta kos dan cukai yang lebih tinggi.

 

Hasil suku tahun kumpulan meningkat 10.96% kepada RM7.26 bilion daripada RM6.54 bilion. Akibatnya, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kumpulan juga meningkat 12% kepada RM3.2 bilion daripada RM2.86 bilion, manakala pendapatan sebelum faedah dan cukai meningkat 25.9% kepada RM1.1 bilion daripada RM875.4 juta.

 

Berbanding dengan suku sebelumnya, kerugian bersih Axiata mengecil daripada RM106.38 juta pada 2QFY22 terutamanya didorong oleh barisan teratas yang lebih tinggi, kerugian pertukaran asing yang lebih rendah dan cukai.

 

Hasil juga meningkat 8.3% daripada RM6.7 bilion daripada pertumbuhan merentas semua syarikat operasi (OpCos) kecuali operasi mudah alih di Bangladesh dan Nepal.

 

Axiata mencatatkan kerugian bersih RM201.76 juta untuk tempoh sembilan bulan terkumpul berbanding keuntungan bersih RM702.88 juta setahun sebelumnya.

 

Hasil bagi sembilan bulan terkumpul berakhir 30 September 2022 juga meningkat 7.57% kepada RM20.43 bilion daripada RM19 bilion setahun sebelumnya.

 

Pengerusi Axiata, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, kumpulan itu akan memberi tumpuan untuk mengekalkan prestasi asas yang kukuh untuk mengatasi sasarannya dan menyelesaikan urus niaga penggabungan dan pengambilalihan (M&A) yang belum selesai.

 

"Kadar penyiapan untuk M&A termasuk penggabungan Celcom-Digi dan pengembangan portfolio menara edotco semuanya menunjukkan ketangkasan kumpulan dalam mengemudi makroekonomi semasa dan memberikan hasil yang seimbang," katanya.

 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Axiata, Vivek Sood berkata, kumpulan itu bekerjasama rapat dengan syarikat operasi di pasaran sempadan, iaitu Sri Lanka, Bangladesh dan Nepal bagi menguruskan risiko yang berkaitan dengan keadaan makroekonomi yang merosot.

 

"Isu rantaian nilai seperti kekurangan bekalan cip global dan peningkatan kos tenaga kekal dalam radar kami walaupun syarikat operasi kami telah mengurangkan kesan secara berkesan dalam pasaran mereka," katanya. - DagangNews.com