Anwar sebagai Perdana Menteri : KLCI, ringgit catat prestasi terbaik selepas 4 hari bergelora | DagangNews Skip to main content

Anwar sebagai Perdana Menteri : KLCI, ringgit catat prestasi terbaik selepas 4 hari bergelora

KUALA LUMPUR 24 Nov - Indeks utama FBM KLCI mengakhiri dagangan petang ini dengan melonjak lebih 50 mata selepas Malaysia akhirnya menyaksikan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10 selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), lima hari lalu.

 

Dalam penutupan petang ini, pasaran tempatan berakhir 58.38 mata atau 4.04% kepada RM1,501.88 mata dengan menyaksikan 6.87 bilion saham diniagakan bernilai RM4.2 bilion. 

 

KLCI mencecah paras tertingginya sejak akhir Ogos lalu, dan pergerakan itu adalah yang terbesar sejak meningkat 6.85% pada 20 Mac 2020. Indeks itu mencecah paras tertinggi harian pada 1,502.11 mata.

 

Kaunter untung mengatasi rugi pada 979 berbanding 197 manakala 256 kaunter tidak berubah. 

 

Momentum kenaikan berkenaan bertambah tinggi pada sesi dagangan petang iaitu selepas berita mengenai pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden PKR itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, pagi tadi.

 

Pelantikan itu selaras dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

 

Dalam laporan Reuters, Ketua Penyelidikan Asia ANZ, Khoon Goh berkata, walaupun Anwar menjadi perdana menteri dan akan mengetuai gabungan Pakatan Harapan, pasaran perlu menunggu dengan jelas berkaitan dasar atau pelantikan Kabinet.

 

"Apa yang pelabur akan cari ialah siapa yang akan menjadi Menteri Kewangan, sama ada akan ada sebarang perubahan kepada bajet yang dibentangkan oleh kerajaan terdahulu atau sebarang firasat bahawa Pakatan Harapan akan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST)," katanya dalam laporan berkenaan.

 

Apa yang lebih menarik, dagangan hari ini turut menyaksikan saham-saham yang sebelum ini dilihat mempunyai kaitan dengan Anwar mendapat rangsangan, bersama-sama dengan pasaran yang lebih luas dalam mod kenaikan harga, berikutan penyelesaian kebuntuan politik di Malaysia dan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) akan memperlahankan kenaikan kadar faedahnya.

 

Walaupun Anwar sebelum ini menafikan mempunyai kaitan dengan syarikat-syarikat berkenaan, tetapi minat belian masih timbul selepas Istana Negara menamakan lelaki berusia 75 tahun itu sebagai perdana menteri.

 

Advance Synergy Bhd. muncul kaunter paling aktif di Bursa Malaysia petang ini, dengan harga sahamnya melonjak setinggi 8.5 sen atau 48.57% kepada 26 sen dengan 1.92 bilion saham bertukar tangan.

 

Sementara itu, Malayan United Industries Bhd. pula muncul saham kedua paling aktif diniagakan melonjak 2 sen atau 20% kepada 12 sen manakala Pan Malaysia Holdings Bhd. naik 3 sen atau 37.5% kepada 11 sen.

 

Saham-saham berkaitan minuman keras, Hieneken Malaysia Bhd. dan Carslberg Brewery Malaysia Bhd. menerajui kaunter paling untung dengan masing-masing menokok RM1.56 atau 6.69% kepada RM24.88 dan 94 sen atau 4.27% kepada RM22.94 sesaham. 

 

Selain itu, saham Genting Malaysia Bhd. juga kembali pulih dengan menokok 20 sen atau 7.94% kepada RM2.72 sesaham. 

 

Sebelum ini, Bloomberg melaporkan saham Genting jatuh menjunam sebanyak 11% berbanding tempoh dua tahun ini, manakala syarikat induknya Genting Bhd susut 10%.

 

Saham syarikat pembekal peralatan judi loteri, Sport Toto Bhd. pula mencecah paras terendah sejak 1993, selain Heineken dan Carlsberg juga merosot.

 

Kejatuhan tersebut dilihat penganalisis berikutan keputusan PRU15 yang menyaksikan prestasi cemerlang PAS mengungguli jumlah kerusi tertinggi dan mengejutkan jangkaan serta ramalan pelbagai pihak.
 

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit melonjak sehingga hampir 1.83% dengan mengukuh kepada RM4.4915 berbanding dolar AS petang ini, menjadikannya antara mata wang berprestasi terbaik di Asia. - DagangNews.com