Anak Malaysia lancar aplikasi media sosial Vortecx saji kandungan berita terkini | DagangNews Skip to main content

Anak Malaysia lancar aplikasi media sosial Vortecx saji kandungan berita terkini

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Mac - Vortecx memperkenalkan aplikasi media sosial baharu yang dimiliki oleh milik anak watan Malaysia menyajikan kandungan berita, hal ehwal semasa dan cerita dalam format video dan artikel.

 

Berbeza dengan media sosial seperti TikTok, YouTube dan Instagram, aplikasi Vortecx milik Syarikat Grand Media Industry Sdn. Bhd. merupakan platform untuk pengguna berkongsi video dan artikel.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Vortecx, Danial Sarifuddin berkata aplikasi Vortecx sudah boleh dimuat turun oleh pengguna telefon android melalui ‘Play Store’.

 

Beliau berkata walaupun fungsi Vortecx hampir sama dengan TikTok, YouTube dan Instagram tetapi yang membezakannya adalah konsep dan kandungannya.

 

"Jika kita lihat, TikTok lebih kepada hiburan dan sebagai salah satu platform menunjukkan kehebatan menari oleh penggunanya manakala Instagram pula lebih kepada berkongsi gambar dan video.

 

"Istimewanya aplikasi Vortecx, ia lebih menumpukan kepada aktiviti harian seperti berita, hal ehwal semasa dan cerita yang disampaikan dalam format video, di mana semua kandungan dalam Vortecx adalah daripada pengguna itu sendiri.

 

"Sebagai contoh jika anda dalam perjalanan ke satu tempat mesyuarat di Kuala Lumpur dan ternampak kemalangan atau kejadian jenayah di kawasan persekitaran, anda boleh merakamkannya kemudian memuat naik ke Vortecx,” jelas Danial dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tambahnya, ini secara tidak langsung memberi kesedaran awam kepada masyarakat terhadap apa-apa yang terjadi di sekeliling mereka.

 

Pada dasarnya, para pengguna boleh berkongsi sebarang kejadian, skandal, gosip, bencana alam dan hiburan dalam format video dan artikel.

 

Mengulas lanjut berkenaan format artikel, Danial berkata pengguna boleh menyiarkan pandangan mereka berkenaan hal ehwal semasa serta cerita mengenai diri mereka.

 

"Aplikasi ini memberi kesedaran kepada masyarakat apa yang berlaku di sekeliling anda kerana anda akan mendapat berita dan cerita terkini, di mana kami akan mengemaskini berita dan cerita setiap hari,” kata Danial sambil menambah konsep aplikasi sosial media ini merupakan yang pertama di Malaysia.

 

Menurut Danial, mereka merancang untuk melebarkan aplikasi Vortecs untuk pengguna iPhone dalam tempoh tiga hingga empat bulan lagi. -DagangNews.com