AME Elite tarik firma AS kembangkan operasi di i-Techvalley | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AME Elite tarik firma AS kembangkan operasi di i-Techvalley

(Dari kiri ke kanan) Pengurus Besar Oliver Healthcare Packaging Asia Tenggara, Dr. Aldin Velic; Pengarah Bahagian Teknologi Bangunan dan Gaya Hidup Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Rozita Ibrahim; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han; Ketua Pegawai Eksekutif Oliver Healthcare Packaging, Michael Benevento; dan Kelvin Lee Chai pada majlis pecah tanah di Sales Gallery at i-Park@Senai Airport City, hari ini.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Feb - AME Elite Consortium Bhd, menerusi anak syarikatnya, Pentagon Land Sdn Bhd, menarik penyertaan syarikat penjagaan kesihatan ke i-Techvalley di SiLC, Johor dengan kemasukan Oliver Healthcare Packaging Malaysia Sdn Bhd.

 

Oliver Healthcare Packaging merupakan syarikat peneraju global beribu pejabat di Amerika Syarikat (AS) yang membangunkan produk steril, penjagaan kesihatan fleksibel dan pembungkusan perubatan.

 

Syarikat tersebut mempunyai kemudahan pembuatan di AS, Belanda dan China, serta pusat teknikal di AS, Ireland, China dan Singapura, menurut AME dalam kenyataan hari ini.

 

Ia juga merancang untuk memacu pengembangan pembuatannya ke Asia Tenggara dan Malaysia menjadi pilihan pertama untuk menubuhkan kemudahan pembuatannya di tanah seluas 4.2 hektar di i-TechValley.

 

Pengarah Urusan Kumpulan AME Elite, Kelvin Lee Chai menzahirkan kegembiraan beliau di atas kejayaan i-TechValley yang semakin diiktiraf sebagai hab perubatan dan penjagaan kesihatan terulung di Asia Tenggara.

 

“Kami mengalu-alukan kehadiran Oliver Healthcare Packaging di i-TechValley yang juga meningkatkan bilangan pelanggan perubatan dan penjagaan kesihatan di taman perindustrian ini.

 

“Keyakinan syarikat tersebut mendorong keyakinan terhadap penyelesaian berkualiti tinggi AME Elite serta taman perindustrian ini terpilih sebagai destinasi pelaburan di Asia Tenggara.

 

“i-TechValley direka bentuk agar kondusif kepada keperluan perkembangan perniagaan syarikat terkemuka, memanfaatkan kejayaan prestasi syarikat dalam pembinaan taman perindustrian yang memenangi anugerah,” katanya.

 

Kumpulan itu juga sedang membangunkan hab perubatan dan penjagaan kesihatan utama di i-TechValley untuk menarik lebih banyak organisasi global yang terkenal, tambahnya.

 

AME Elite merupakan pembekal penyelesaian ruang industri bersepadu dan komprehensif, di mana perniagaannya merangkumi pembangunan taman industri berpagar dan berkawal, reka bentuk dan pembinaan kilang pembuatan besar, penjualan dan pajakan unit kilang industri, serta penyewaan dan pengurusan asrama pekerja. -DagangNews.com