CGS-CIMB jangka penggunaan kad kredit kembali pulih, kekal saranan 'overweight' ke atas bank | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB jangka penggunaan kad kredit kembali pulih, kekal saranan 'overweight' ke atas bank

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Okt. - CGS-CIMB mengekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor perbankan dengan menjangkakan kadar penggunaan kad kredit kembali pulih sejajar dengan pembukaan semula ekonomi.

 

Ini sekali gus akan menjadi antara pemacu bagi pertumbuhan pendapatan bank pada tahun kewangan 2022 meskipun impaknya tidak ketara dengan firma itu mengunjurkan pertumbuhan untung bersih teras pada 7.3%.

 

Penganalisisnya, Winson Ng berkata, penggunaan kad kredit ini bukan sahaja akan membantu meningkatkan pertumbuhan pinjaman tetapi juga dari segi pendapatan yuran dan margin faedah bersih (NIM) bank.

 

"Kami dapati kadar faedah bagi kad kredit adalah tertinggi berbanding pinjaman lain iaitu lebih daripada 10% dan bank juga memperoleh pendapatan yuran daripada pembelian yang menggunakan kad kredit. 

 

"Sebagai contoh, Bank Islam Malaysia Bhd. merekodkan jumlah yuran dan komisyen sebanyak RM74.5 juta daripada penggunaan kad kredit dan debit bagi tahun kewangan 2020, merangkumi 36.3% daripada keseluruhan pendapatan yuran," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

CGS-CIMB mendapati penggunaan kad kredit merangkumi 1.7% daripada jumlah pinjaman industri perbankan sejak akhir Jun 2021.

 

Dalam kalangan bank tempatan, Hong Leong Bank Bhd, merekodkan jumlah pinjaman kad kredit paling tinggi sebanyak 1.8% setakat akhir Jun 2020 manakala penawaran paling rendah adalah Public Bank Bhd. dan Affin Bank Bhd. iaitu hanya 0.5%.

 

Penggunaan kad kredit menyaksikan trend penurunan mulai Mac 2020 apabila kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19. 

 

Disebabkan PKP, penggunaannya menyusut 12.5% tahun ke tahun pada 2020 kepada 11.1% (RM32.3 bilion) setakat akhir Ogos 2021.

 

Ng berkata, bagaimanapun, pengggunaan kad kredit akan berubah apabila kerajaan membenarkan semula rentas negeri dan perjalanan antarabangsa kepada individu yang lengkap vaksin mulai 11 Oktober lalu.

 

"Dengan mengandaikan penggunaan kad kredit akan meningkat semula ke paras sebelum pandemik sekitar RM38 hingga RM40 bilion menjelang akhir Disember 2022, ini bermakna ia akan berkembang antara 17.5% dan 23.7% dalam tempoh 16 bulan (mulai akhir Ogos 2021 hingga Disember 2022," jelas beliau. 

 

Di sebalik impak negatif pandemik COVID-19, menurut beliau, bayaran hutang kad kredit yang tertunggak, susut daripada 5.6% pada akhir 2019 kepada 4.7% (akhir Disember 2020) dan 4.6% (akhir Ogos 2021). 

 

"Dalam hal ini, kami berpendapat, keadaan ini dapat dikawal dengan adanya bantuan bayaran semula yang ditawarkan oleh bank kepada peminjam yang berdepan masalah kewangan," katanya. - DagangNews.com