Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 15 February 2021

wasiyyahshoppe

BUAT WASIAT DAPAT ELAKKAN WARIS BERTELAGAH?

 

 

SAYA ditanya soalan ini. Betulkah kalau kita sudah buat wasiat, kita dapat elakkan waris-waris kita daripada bertelagah selepas kematian kita? Ini bukanlah kali pertama saya ditanya soalan seperti ini. Ada pihak yang mendakwa, kalau kita buat wasiat, waris tidak akan bertelagah sesama mereka. Pandangan ini sebenarnya ada betul dan ada juga tidak betulnya.

 

Untuk ulas sama ada betul atau tidak dakwaan pihak ini, kita kena faham dahulu apakah pengertian wasiat itu sendiri. Dalam hukum syarak, wasiat bermakna pemberian 1/3 dari harta pusaka kepada bukan waris bagi tujuan amal jariah. Jadi dapatkah wasiat dalam konteks ini boleh mengelakkan waris dari bertelagah?

 

Sebenarnya dalam pengalaman 23 tahun saya dalam industri perancangan harta dan pengurusan pusaka ini, saya pernah beberapa tahun lepas berjumpa kes waris bertelagah tentang wasiat ini.

 

Walaupun hukum tentang wasiat 1/3 ini jelas, ada waris yang tidak setuju dengan wasiat itu. Seorang ayah mewasiatkan agar 1/3 dari harta pusakanya diserahkan kepada masjid di mana dia merupakan anak kariah. Waris yang tidak bersetuju dengan wasiat itu menghujahkan bahawa ayah ini sebenarnya  membuat wasiat itu dalam keadaan tidak waras akal fikiran kerana telah terlalu lama terlantar sakit.

 

 

wasiyyahshoppe

 

 

Dalam masa yang sama ada pula waris yang menyokong wasiat si ayah ini kerana mereka tahu ia adalah salah satu dari perkara yang tidak putus dari ayah mereka iaitu amal jariah dan mereka memahami hasrat si ayah.

 

Kes ini dibawa ke Mahkamah Syariah dan diputuskan bahawa wasiat itu sah dan terlaksana. Maka wasiat itu ditolak dulu dari harta pusaka sebelum baki harta pusaka itu diagihkan kepada waris-waris mengikut bahagian masing-masing di dalam hukum faraid.

 

Waris-waris yang tidak bersetuju dan yang bersetuju dengan wasiat itu kemudiannya sudah tidak bertegur antara satu sama lain kerana berbalah pandangan tentang wasiat ayah itu.

 

Ada juga kes yang saya temui, ayah membuat wasiat memberikan bahagian harta pusaka yang lebih kepada anak tertentu. Kedudukan wasiat ini juga jelas iaitu ia hanya sah sekiranya hasrat itu dipersetujui oleh semua waris selepas kematian pewasiat. Dalam kes inipun, waris-waris bertelagah selepas kematian pewasiat.

 

Bagaimana pula dengan wasiat dari segi undang-undang sivil iaitu wasiat yang melantik wasi? Adakah wasiat ini boleh mengelakkan waris dari bertelagah?

 

Wasiat melantik wasi sekiranya kes dibicarakan di Pejabat Pusaka Kecil iaitu bagi harta pusaka yang bernilai kurang RM2 juta (ada harta alih dan tidak alih), tidak berkuatkuasa kecuali dipersetujui oleh semua waris.

 

Jika tidak dipersetujui, pegawai yang membicarakan kes itu akan berbincang dengan waris-waris ketika bicara kuasa bagi bermuafakat siapakah yang akan dilantik sebagai pentadbir. Sekiranya permuafakatan tidak dapat dapat dicapai, maka kes akan ditangguhkan dan wasiat melantik wasi itu perlu dibawa ke Mahkamah Syariah untuk pengesahan. Mahkamah Syariah dalam menentukan pengesahan wasi akan melihat pula kepada peruntukan enakmen wasiat negeri-negeri atau enakmen yang berkenaan. Apa sahaja keputusan Mahkamah Syariah akan diterima oleh Pejabat Pusaka Kecil dalam melantik pentadbir.   

 

Wasiat yang melantik wasi  hanya berkuatkuasa sekiranya kes pusaka simati itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil iaitu bagi kes pusaka yang bernilai melebihi RM2 juta. Walaupun ada wasiat ini, waris-waris yang tidak bersetuju dengan pelantikan wasi itu tetap mempunyai hak untuk mempertikaikan pelantikan wasi itu di Mahkamah Tinggi Sivil.

 

Satu kes yang saya temukan beberapa tahun lepas, simati membuat wasiat pelantikan dan melantik isterinya sebagai wasi. Kes dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil kerana harta pusaka simati melebihi nilai RM2 juta.

 

Pelantikan wasi itu dicabar oleh ibu simati yang tidak bersetuju menantunya menjadi wasi. Di dalam perbicaraan, ibu simati mengemukakan hujah kenapa isteri simati tidak layak menjadi wasi. Mahkamah akhirnya memutuskan bahawa pelantikan wasi itu sah dan menolak hujah ibu simati. Walaupun begitu selepas perbicaraan,  hubungan di antara ibu mertua dan menantu itu mulai bermasalah dan mereka tidak bertegur sapa lagi selepas itu.

 

Jadi di manakah hujah kalau sudah membuat wasiat, waris dapat dielakkan dari bertelagah? Saya tidak mempertikaikan tentang fungsi wasiat melantik wasi. Di dalam kes yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil, wasiat melantik wasi ini sangat membantu dari segi pengurusan harta pusaka namun ia bukanlah jaminan waris tidak akan bertelagah seperti yang didakwa pihak berkenaan.

 

Sebenarnya walaupun ada dokumen perancangan seperti wasiat, hibah, harta sepencarian dan amanah, ia bukanlah satu jaminan 100% bahawa waris tidak akan bertelagah. Pengalaman saya menunjukkan bahawa ada pelbagai faktor yang menyebabkan waris bertelagah.

 

Antara yang utama ialah kekurangan ilmu tentang hukum berkaitan harta pusaka. Orang yang tidak berkaitan menuntut harta pusaka manakala sesama waris pula tidak berpuas hati dengan bahagian mereka yang dipersepsikan sebagai ‘tidak cukup’.

 

Selain dari itu, faktor waris yang memang sudah sedia bermasalah dari segi hubungan ketika ibu bapa masih hidup juga akan berkecenderungan tinggi menyebabkan perbalahan berlarutan dalam urusan harta pusaka ibu bapa walaupun ada wasiat.

 

 

wasiyyahshoppe

 

 

Dalam keadaan lain pula, faktor pengaruh ‘consultant’ iaitu orang yang rapat dengan waris juga memainkan peranan. ‘Consultant’ ini berkecenderungan mengapi-apikan waris supaya menuntut ‘hak’ mereka dalam apa keadaan sekalipun dan ini  mewujudkan suasana tegang sesama waris.

 

Faktor perbezaan taraf sosio ekonomi antara waris juga sering menyebabkan waris bertelagah. Waris yang kaya mungkin tidak memberi kerjasama untuk mempercepatkan proses tuntutan harta pusaka kerana kehidupan mereka mewah dan tidak berharapkan harta pusaka ibu bapa sedangkan waris yang tiada kemampuan dari segi kewangan mungkin menunggu penuh harapan untuk mendapat bahagiannya bagi menampung kelangsungan kehidupan.

 

Bagi orang Islam di Malaysia, kedua-dua sistem perundangan sivil dan syariah perlu dilalui waris sebelum dapat menerima harta pusaka. Proses rumit ini menyebabkan ada kos yang perlu dikeluarkan dan isu kos ini juga kadang-kadang menyebabkan waris bertelagah.

 

Jadi kesimpulannya, hujah mengatakan dengan membuat dokumen wasiat, hibah, harta sepencarian atau amanah akan mengelakkan waris-waris dari bertelagah adalah tidak tepat.

 

Hujah yang lebih tepat ialah penyediaan dokumen-dokumen ini akan mengurangkan risiko perbalahan waris yang berpanjangan (kerana walaupun waris berbalah, proses tetap berjalan kesan dari dokumen yang dibuat), mempercepatkan proses perundangan dan memastikan hasrat simati itu tercapai. Membuat dokumen perancangan harta bukan jaminan waris tidak bertelagah!  -DagangNews.com

 

 

wasiyyahshoppe
TUAN HAJI ARIFFIN SABIRIN adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad.
wasiyyahshoppe

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

PERINGATAN UNTUK IBU BAPA YANG ADA ANAK ANGKAT

KENAPA ORANG ISLAM SENDIRI TIDAK YAKIN DENGAN UNDANG-UNDANG SYARIAH?

 KEKELIRUAN TENTANG  HIBAH TAKAFUL

WAHAI SUAMI ! ANDA MESTI ADA POLISI TAKAFUL !

Ada apa dengan TANGGUNGJAWAB?

FARAID DAN TANGGUNGJAWAB

TERUKNYA TANGGUNGJAWAB WASI HARTA PUSAKA

Kenapa penting untuk hibahkan rumah kita yang masih ada pinjaman bank – Bahagian Pertama

KENAPA PENTING UNTUK HIBAHKAN RUMAH KITA YANG MASIH ADA PINJAMAN BANK – Bahagian Kedua

Kenapa penting untuk hibahkan rumah kita yang masih ada pinjaman bank - Bahagian Ketiga

BAGAIMANA CARA WARIS TIDAK PERLU BAYAR FI KHIDMAT PENGURUSAN PUSAKA?

ORANG MALAYSIA TIDAK TAHU KOS URUS HARTA PUSAKA MAHAL!

ALTRUISME DAN  HARTA PUSAKA

COVID-19 dan perancangan harta

INTEGRITI DALAM INDUSTRI PERANCANGAN HARTA

Tak semua orang perlu wasiat?

Jangan lupa rancang harta untuk manfaat diri sendiri dulu

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags