Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 29 March 2021

wasiyyahshoppe

BUAT HIBAH SEOLAH-OLAH KITA TAK PERCAYAKAN ADIK-BERADIK?

 

 

DALAM kalangan penggiat industri perancangan harta minggu ini, viral cerita ini. Dikatakan oleh pihak tertentu bahawa bila kita menghibahkan harta kita kepada pasangan dan anak-anak, seolah-olah seperti kita tak percaya kepada waris-waris faraid terutamanya bagi kes di mana adik-beradik ada bahagian.

 

 Saya pun tak tahu dari mana datangnya cerita ini kerana isu buat hibah sebenarnya tidak ada kena-mengena dengan kita percaya atau tidak dengan waris-waris faraid yang lain.

 

Isu berkaitan hibah dari 2004 lagi saya sudah jumpa dalam masyarakat apabila saya bercerita tentang hibah. Ada yang kata hibah melarikan dari faraid. Ada yang kata hibah itu tiada dalam Islam. Berdosa katanya sebab harta pusaka wajib diagih mengikut hukum faraid. Membuat hibah ini seolah-olah kita cuba nak melarikan diri dari harta pusaka kita diagihkan kepada waris mengikut hukum faraid.

 

Saya tak hairan jika soalan ini ditanya ketika itu kerana Wasiyyah Shoppe Berhad organisasi pertama yang memperkenalkan hibah kepada umat Islam Malaysia. Memang ketika itu tak ramai orang Islam tahu apa itu hibah.

 

Ada yang ingat hibah dengan wasiat sama. Faraid pun masyarakat tak faham. Saya masih ingat ketika itu saya dan beberapa orang kawan sahaja yang macam nak rak round satu Malaysia berceramah tentang faraid, hibah dan wasiat.
 

 

wasiyyahshoppe

 

Alhamdulillah usaha istiqomah dan penuh kesabaran yang kami lakukan selama 17 tahun ini dalam mendidik umat Islam tentang isu penghartaan, mulai menampakkan hasil apabila tiada lagi persoalan ini ditanyakan kepada kami. Masyarakat sudah mulai faham.

 

Namun seminggu dua ini kembali panas semula isu tentang hibah. Ada pihak yang mengatakan bila kita buat hibah, seolah-olah kita tak yakin dengan waris-waris faraid kita terutamanya bagi kes golongan kritikal di mana  adik-beradik dapat bahagian faraid (untuk kes pasangan yang tiada anak kandung, pasangan yang ada anak perempuan sahaja atau pasangan yang ada anak angkat sahaja dan bapa telah meninggal dunia lebih awal), seolah-olah adik-beradik itu akan menganiaya pasangan dan anak-anak kita.

 

Seolahnya mereka itu selepas mendapat bahagian mereka, akan melupakan tanggungjawab mereka terhadap anak yatim peninggalan simati.

 

Dihujahkan kenapa kita tak yakin dengan adik-beradik kita? Kenapa kita mesti bersangka buruk dengan adik-beradik kita? Sepatutnya kita mesti percaya dan yakin apabila adik-beradik kita menerima bahagian dari harta pusaka kita, mereka akan menjalankan tanggungjawab dengan baik untuk menjaga nasib anak-anak kita kerana mereka adalah wali.

 

Pihak yang berhujah begini sebenarnya tidak faham perkara asas dalam ilmu fiqh mawarith itu sendiri iaitu hukum berkaitan penguasaan harta (mal) dalam Islam.

 

Kekeliruan mereka ini kemudiannya mereka sebarkan pula kepada masyarakat yang membuatkan masyarakat pula terkeliru. Jadi penulisan saya kali ini saya nak jelaskan supaya tiada pihak yang terkeliru. Saya akan huraikan di dalam konteks kes golongan kritikal di atas di mana adik-beradik mempunyai bahagian.

 

Sepertimana hukum faraid, hibah juga wujud dalam Islam. Ia adalah alternatif (pilihan)  yang ditawarkan Islam sekiranya kita ingin merancang harta semasa kita hidup.

 

Dalil tentang hibah datangnya dari Al-Quran, As-sunnah dan ijmak ulamak (boleh google ada banyak penulisan ilmiah tentang hibah). Hibah itu bukan ciptaan manusia.  

 

Sebagai tuan punya harta, selagi kita masih hidup, kita bebas berbuat apa sahaja kepada harta kita  (mengikut hukum syarak ) kerana harta itu kita punya dan kita yang berkuasa ke atasnya. Kita boleh menghibahkan harta kita kepada sesiapapun yang kita kehendaki, waris atau bukan waris. Itu hak kita.

 

Jadi apabila kita menghibahkan harta contohnya. rumah kepada pasangan dan anak-anak, maka sebaik semua rukun dan syarat hibah itu terlaksana, maka harta yang dihibah itu sudahpun sah menjadi milik penerima hibah sekarang ketika kita masih hidup.

 

 

wasiyyahshoppe

 

Bila kita mati kelak, rumah itu tidak menjadi harta pusaka maka tiadalah hak adik-beradik kita ke atasnya. Dari kita hidup lagi selepas akad hibah disempurnakan, rumah itu sudah menjadi milik pasangan dan anak-anak kita (penerima hibah). Jadi membuat hibah ini adalah satu pilihan (alternatif) kepada kita selagi kita masih hidup. Nak buat boleh tak nak buat pun tak apa.

 

Sebaliknya bila kita mati dan kita tidak  menghibahkan rumah itu semasa hidup, maka secara automatik rumah itu menjadi harta pusaka dan semua waris termasuklah adik-beradik kita (bagi kes golongan kritikal di atas) akan mempunyai hak mengikut hukum faraid.

 

Dalam kes seperti ini, saya ada berjumpa dengan kes di mana adik-beradiknya menolak bahagian mereka (takharruj) kepada pasangan atau anak-anak. Ada juga adik-beradik yang menuntut bahagian mereka dan ada juga adik-beradik yang setuju melepaskan bahagian mereka dengan syarat bahagian itu ditebus oleh pasangan dan anak-anak simati dengan wang mengikut nilai semasa.

 

Jika adik-beradik ini tidak mahu melepaskan bahagian mereka (terutamanya bila rumah yang ditinggalkan itu nilaian jutaan Ringgit atau mahukan bahagian mereka ditebus tetapi pasangan dan anak-anak tiada kemampuan), maka selepas perbicaraan pusaka selesai, nama adik-beradik tadi akan juga tercatit di dalam hak milik tanah sebagai pemilik mengikut bahagian faraid masing-masing.

 

Persoalan yang lebih besar yang tidak dilihat oleh pihak berkenaan yang berhujah bila buat hibah seolah-olah kita tak percayakan adik-beradik, ialah apa jadi apabila adik-beradik tadi pula  mati?

 

Bahagian yang mereka miliki ke atas rumah kita tadi akan diwarisi pula oleh pasangan dan anak-anak mereka. Saya mungkin percayakan adik-beradik saya tetapi adik ipar dan anak saudara saya?

 

Bolehkah saya mempercayai 100% adik ipar dan anak saudara saya yang mewarisi bahagian adik saya tadi akan berkompromi dan bermuafakat juga dengan pasangan dan anak-anak saya? Saya tak yakin situasi kompromi ini mudah dicapai.   

 

Apa akan jadi dengan rumah pusaka saya itu apabila pasangan dan anak-anak saya berkongsi hak ke atasnya dengan adik ipar dan anak saudara saya? Pembaca boleh bayangkan situasinya? Saya tidak boleh!

 

Saya membeli rumah itu sebagai tempat perlindungan untuk pasangan dan anak-anak saya tetapi kini sebahagiannya menjadi hak adik ipar dan anak saudara saya pula! Kesemua keadaan ini memang berlaku (bukan cobaan) dalam masyarakat.

 

Ia realiti dan Wasiyyah Shoppe Berhad sendiri yang sudah bergerak selama 17 tahun telah berjumpa dengan ribuan kes pusaka golongan kritikal yang  berdepan dengan situasi-situasi begini.
 

 

wasiyyahshoppe

 

Jika sudah berlaku keadaan ini apakah penyelesaiannya? Takkanlah selama-lamanya nama adik ipar dan anak saudara saya tercatat dalam hak milik rumah pusaka saya? Bila mereka pula mati apa jadi?

 

Satu-satunya penyelesaian kepada keadaan ini ialah dengan pasangan dan anak-anak saya menebus bahagian faraid adik ipar dan anak saudara saya dengan membayar wang tunai mengikut nilai semasa (Itupan kalau mereka setuju bahagian mereka ditebus).

 

Nilai semasa ketika itu pula mungkin sudah berkali-kali ganda dari nilai ketika tuan punya harta itu mati. Ini bermakna wang yang terpaksa digunakan untuk menebus bahagian itu juga akan menjadi lebih banyak dan membebankan pasangan dan anak-anak.

 

Lupakah kita kepada masalah pusaka yang sedang berlaku pada hari ini? Sekeping tanah diwarisi sehingga 100 orang waris yang terdiri dari generasi keempat dan kelima seperti yang berlaku di Kampung Baru Kuala Lumpur. Senangkah jika nak dibangunkan tanah sebegini? Mahukah rumah kita yang sebuah itu diwarisi sehingga 60 atau 70 orang waris pada masa akan datang?  

 

wasiyyahshoppe

 

Membuat hibah bukan bermakna kita tak percayakan adik-beradik kita. Saya percaya ramai golongan kritikal ini membuat hibah kerana mereka mahu mengelakkan risiko berlaku keadaan yang akan memberikan kesukaran kepada pasangan dan anak mereka pada masa hadapan.

 

Bila berlaku situasi waris selain pasangan dan anak-anak mendapat bahagian, maka ada kemungkinan kes itu bermasalah dan mewujudkan perbalahan pada masa hadapan.

 

Membuat hibah ialah kaedah menguruskan risiko bukan isu tak percayakan adik-beradik! Tapi kalau anda rasa risiko itu tidak wujud di dalam keluarga anda, maka tidak perlulah anda membuat hibah.

 

 

ariffinsabirin
Tn Haji Ariffin Sabirin adalah pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad

 

ariffinsabirin

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags