Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 1 March 2021

wasiyyahshoppe

BETULKAH HIBAH TAKAFUL SELESAIKAN MASALAH PUSAKA ?

 

ADA perunding takaful yang bergerak di dalam pasaran hari ini mempromosikan bahawa jika kita sudah buat hibah takaful, maka tiadalah lagi masalah pusaka.

 

Dibuat drama pendek tentang pergaduhan adik beradik yang berebut harta pusaka tetapi akhirnya di penghujung drama itu dipromosikan bahawa buatlah hibah takaful untuk mengelakkan perbalahan keluarga. Betul ke bila kita dah buat hibah takaful maka tiada perbalahan keluarga tentang harta pusaka?

 

Promosi sebegini sebenarnya saya sudah jumpa semenjak 2013 lagi ketika prinsip hibah takaful ini mula diperkenalkan kepada masyarakat melalui Jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA) 2013.

 

Dipromosikan bahawa dengan adanya hibah takaful, maka tiadalah masalah pusaka kerana dengan manfaat takaful itu, boleh  ditebus bahagian faraid waris-waris yang lain tanpa diberitahu fakta sebenar bahawa sekiranya waris-waris berkenaan enggan bahagian mereka ditebus dan mereka mahu menuntut juga bahagian hak mereka, walaupun penerima hibah menerima manfaat takaful jutaan RM pun, bahagian itu tidak boleh ditebus.

 

Bahagian waris-waris lain tetap wajib diserahkan kepada mereka. Jadi  hujah hibah takaful boleh menebus hak faraid waris lain adalah TIDAK TEPAT SAMA SEKALI.

 

Dipromosikan juga oleh perunding takaful, bila penerima hibah takaful ini menerima manfaat itu, maka bolehlah wang itu digunakan untuk membayar hutang piutang simati. Hujah ini juga TIDAK TEPAT SAMA SEKALI kerana apabila manfaat takaful itu telah dihibahkan kepada penerima hibah, atas sifat hibah itu, ia adalah milik mutlak penerima hibah.

 

Contohnya suami jika dia menghibahkan manfaat takaful kepada isteri, dia boleh berpesan kepada isteri itu untuk tolong membayar hutangnya bila dia mati tetapi sama ada isteri itu ingin memenuhi permintaan suami atau tidak selepas mendapat manfaat itu, ia terserah di atas budi bicara isteri.
 

 

wasiyyahshoppe

 

Manfaat takaful jutaan RM yang diterimanya adalah milik mutlak isteri dan terserahlah kepadanya apa yang mahu dibuat ke atas wang itu. Isteri tidak terikat baik dari segi hukum syarak mahupun undang-undang sivil untuk membayar hutang suami!

 

Untuk pengetahuan semua pembaca, obligasi untuk membayar hutang simati bukanlah obligasi penerima hibah baik hibah takaful mahupun hibah harta yang lain. Hutang simati perlu ditolak dari harta pusaka yang ditinggalkan. Manfaat takaful yang telah dihibahkan itu bukanlah harta pusaka kerana ia telah dihibahkan.

 

Jika benar peserta takaful mahukan hutangnya dibayar dari manfaat takaful, maka apa yang perlu dibuatnya bukanlah hibah takaful tetapi penamaan takaful sahaja. Penama yang menerima manfaat takaful ini wajib bekerjasama dengan wasi harta pusaka simati untuk menggunakan manfaat takaful itu bersama-sama harta pusaka alih yang lain bagi menjelaskan hutang piutang simati. Inilah kaedah betul jika manfaat takaful mahu digunakan untuk penjelasan hutang.  

 

Satu lagi hujah popular yang selalu digunakan perunding takaful di dalam mempromosikan kaedah hibah takaful ialah wang manfaat itu boleh digunakan untuk menjelaskan semua kos pengurusan harta pusaka.

 

Secara prinsipnya, kos pengurusan harta pusaka ini juga adalah obligasi ke atas harta pusaka. Maknanya harta pusaka boleh dipotong bagi menjelaskan apa-apa kos yang dikeluarkan di dalam proses tuntutan harta pusaka.

 

Walaupun begitu terserah di atas budi bicara penerima hibah takaful ini sekiranya dia mahu menggunakan manfaat takaful itu untuk membayar kos-kos pengurusan pusaka ini. Dari segi hukum dan undang-undang Penerima hibah TIDAK WAJIB menggunakan wang manfaat takaful itu bagi tujuan ini.

    

Malah yang lebih teruk lagi ada juga perunding takaful yang menasihatkan orang ramai, buat sahaja hibah takaful dah cukup. Tak perlu pun nak membuat hibah untuk harta yang lain! Hujah ini bukan sahaja tidak tepat malah ia mengelirukan umat Islam.
 

 

wasiyyahshoppe

 

Hibah takaful hanyalah untuk memberi hak kepada penerima hibah ke atas manfaat takaful sahaja. Ia tidak menyelesaikan isu pewarisan rumah, akaun bank, kereta, saham syarikat, saham koperasi dan harta yang lain.

 

Jika umat Islam ingin memberi hak harta-harta ini kepada sesiapa pun yang dikehendakinya, maka mereka perlu membuat hibah rumah, hibah akaun bersama, hibah kereta, hibah saham syarikat, hibah barang kemas, hibah saham koperasi dan lain-lain harta.

 

Setiap harta atas sifat dan undang-undang yang mengikatnya, mempunyai kedudukan rukun dan syarat hibah yang berbeza mengikut hukum syarak. Janganlah dipukul rata buat hibah takaful harta lain tak perlu dihibahkan!  

 

Saya kenal secara peribadi beberapa orang di dalam Majlis Pengawasan Syariah Bank Negara Malaysia yang mendraf Jadual 10 ini dan faham secara tepat bahawa tujuan pengenalan  hibah takaful ini ialah untuk memastikan peserta takaful dapat memberikan manfaat takaful itu secara mutlak kepada sesiapa penerima hibah yang dikehendakinya.

 

Sebelum pengenalan Jadual 10 ini pada 2013, peserta takaful hanya boleh meletakkan penamaan sahaja dan ia menimbulkan pelbagai cabaran kerana manfaat takaful itu  perlu difaraidkan kepada semua waris yang berhak mengikut bahagian masing-masing sedangkan peserta takaful itu pastinya mempunyai hasrat jelas kepada siapakah dia mahu manfaat itu dimiliki.   

 

Saya percaya dan tahu bahawa Dato’ Mohd Daud Bakar (Pengerusi Majlis Pengawasan Syariah BNM) dan rakan-rakannya yang bijaksana, ketika mendraf akta berkenaan hibah takaful ini faham dengan jelas tujuan dan objektif hibah takaful ini.

 

Pastinya hibah takaful ini TIDAK diperkenalkan dengan tujuan untuk menebus hak faraid waris lain, membayar hutang peserta takaful atau untuk membayar kos pengurusan pusaka atau pun apa tujuan lain sekalipun kecuali untuk satu tujuan sahaja iaitu untuk memberi hak manfaat takaful itu secara mutlak kepada sesiapa yang dikehendaki.

 

Beberapa CEO syarikat takaful yang saya temui mengatakan bahawa sejak Jadual 10 ini diperkenalkan, jualan polisi takaful mereka memang mencanak-canak naik kerana promosi hibah takaful yang dibuat oleh perunding mereka.

 

Sebagai orang yang lama dalam industri, saya seronok dengan perkembangan ini kerana lebih ramai orang Islam yang menjadi peserta takaful maknanya lebih banyaklah ‘kekayaan’ yang dicipta untuk generasi seterusnya. Saya sendiripun ada beberapa polisi takaful yang sudah saya hibahkan kepada isteri dan anak. Manfaat takaful itu hak mutlak mereka dan saya tidak bagi apa-apa arahan pun apa yang mesti mereka buat apabila menerima manfaat itu.

 

Apa yang saya tidak setuju ialah promosi berlebih-lebihan yang dibuat tentang hibah takaful sehingga melanggar fakta yang sebenar. Sebaran maklumat yang tidak tepat menyebabkan masyarakat terkeliru. Perunding takaful yang bertindak begini sebenarnya tidak membantu  malah meletakkan waris-waris pelanggannya dalam keadaan yang lebih sukar.

 

Seruan saya kepada para perunding takaful yang menyebarkan maklumat tidak tepat ini, belajarlah jika anda tidak pasti. Hari ini ada banyak saluran maklumat atas talian yang dapat memberi maklumat yang tepat.

 

Tanggungjawab utama kita bukanlah untuk membuat ‘sales’, mengejar insentif trip luar negera atau nak naik pangkat semata-mata tetapi lebih penting lagi ialah untuk membantu pelanggan dan waris mereka. Kita akan dipertanggungjawabkan di dunia dan akhirat atas tindakan kita.    - DagangNews.com

 

wasiyyahshoppe
 Tuan Hj Ariffin Sabirin adalah pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad.

    

wasiyyahshoppe

 

   

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

 

Portfolio Tags