Beras, gula pun jadi harta pusaka - wajib difaraidkan? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 15 March 2021
wasiyyahshoppe

BERAS GULA PUN JADI HARTA PUSAKA - WAJIB DIFARAIDKAN ?

 

KECOH cerita pasal beras dan gula pun jadi harta pusaka. Saya pun suka juga nak ulas cerita ini bagi memberi perspektif saya kepada masyarakat berdasarkan pengalaman kami di Wasiyyah Shoppe Berhad menguruskan harta pusaka orang Islam semenjak 2004.

 

Tidaklah saya lebih pandai dari mana-mana pihak di luar sana yang mempunyai master atau PhD di dalam harta pusaka. Saya sekadar berkongsi pandangan sahaja.

 

Mungkin pihak yang melontarkan pandangan itu mempunyai hujah dan perspektif yang tersendiri. Kita saling hormat menghormati atas perbezaan pandangan ini. Tiada pihak yang benar atau yang salah keseluruhannya.

 

Apa maksud harta pusaka?

Harta pusaka ialah semua harta yang menjadi milik sah simati sepanjang kehidupannya dan harta itu kepunyaannya ketika dia menghembuskan nafas yang terakhir.

 

Apakah antara harta pusaka itu?

Ia termasuk semua akaun bank, hartanah, saham syarikat, saham koperasi, royalti, akaun CDS di Bursa Malaysia, pelaburan yang lain, kenderaan, KWSP yang berdaftar di atas nama simati. Termasuk jugalah dividen atas apa-apa saham miliknya serta hutang pihak lain kepada si mati.

 

Apa pula yang tidak termasuk sebagai harta pusaka?

Pencen, Perkeso, khairat kematian, sumbangan yang diberikan orang ramai ketika menziarah jenazah, saguhati, harta milik simati yang telah dijual,  dihibahkan, diwakafkan dan disedekahkan ketika hidupnya. Termasuk jugalah harta yang simati ini memegang sebagai pemegang amanah untuk pihak lain pun tidak tergolong sebagai harta pusaka.

 

Kalau beras dan gula yang dibeli simati ketika hidupnya dan dibawa balik ke rumah untuk dimakan oleh anak isterinya, adakah itu juga dianggap sebagai harta pusaka dan wajib diagihkan kepada waris mengikut hukum faraid?

Persoalan tentang beras dan gula ini perbincangannya menarik dan ia hampir serupa dengan perbincangan tentang kedudukan harta pusaka simati yang lain seperti pakaian, set golf, barang kemas,  kasut, jam rolex atau jam plastik yang tak bernilai sekalipun, periuk belanga termasuklah corell yang dibeli di Australia tu. Adakah semua ini juga harta pusaka simati?

 

Tanpa mengira nilai harta ini tinggi atau rendah, secara hukminya ia tetap dianggap harta pusaka yang bermakna ada hak waris-waris faraid ke atasnya. Namun tidaklah pula perbincangan tentang harta-harta ini (kecuali barang kemas yang kadang-kadang dibawa juga ke dalam sesi bicara kuasa) dibuat melalui proses undang-undang pusaka.

 

Kalau semuanya nak dibawa ke depan pegawai pusaka kecil (bagi kes bernilai kurang dari RM2 juta) atau hakim mahkamah tinggi (bagi kes yang bernilai melebihi RM2 juta) untuk diputuskan pembahagiannya, maka penuhlah mahkamah dengan beras, gula, kain baju, pinggan mangkuk malah mungkin ayam, kambing dan lembu pun akan hadir perbicaraan!

 

wasiyyahshoppe

 

Dalam amalan perundangan harta pusaka di Malaysia, hanya harta-harta yang mempunyai pendaftaran sahaja seperti hartanah, kenderaan, saham, akaun CDS, akaun bank sahaja yang dibawa ke dalam perbicaraan.

 

Kenapa? Kerana Surat Kuasa Mentadbir dan Perintah Pembahagian dari Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil diperlukan bagi membolehkan harta-harta itu diturunmilik kepada waris-waris yang berhak.

 

Bagi harta-harta yang tidak mempunyai pendaftaran seperti kain baju, pinggan mangkuk dan beras gula ini, sebenarnya ia lebih banyak terletak kepada permuafakatan waris-waris.

 

Jika waris-waris yang berhak reda waris lain memakan atau mengambilnya, maka tidaklah ia menjadi sebarang isu. Ia dianggap sebagai takharruj (pelepasan hak). Waris-waris perlu jelas kedudukan harta-harta ini.

 

Namun dalam keadaan tertentu, terjumpa juga kes-kes melibatkan peti ais, televisyen led, kerusi urut atau barang berharga dalam rumah, menjadi isu sesama waris. Jika timbul situasi begini, maka perlulah barang-barang itu dinilaikan dan mana-mana waris yang mengingininya perlulah menebus bahagian waris-waris yang lain.

 

Dari sudut urf atau amalan masyarakat setempat pula, apabila si suami membeli beras dan gula untuk dibawa balik ke rumah, memang niat si suami untuk memberi makan kepada anak isterinya sebagai menunaikan tanggungjawabnya.

 

wasiyyahshoppe

 

Kalau kita memandang dari sudut ini , kelihatannya beras dan gula ini tidaklah menjadi harta pusaka dan bolehlah dinikmati anak isteri tanpa perlu mendapat keizinan waris-waris faraid yang lain selepas kematian si suami tadi kerana ia tidak dianggap sebagai harta pusaka.

 

Sebaiknya perlu ada akad jelas (tapi kalau beras dan gula pun nak kena akad letih juga!). Apabila si suami balik ke rumah membawa beras gula, maka suami pun berakad. 

 

"Yang, ini abang bawa balik beras gula ke rumah sebagai menunaikan tanggungjawab abang menafkahkan keluarga ini.” Si isteri pun menyambut, “ Ya bang bagi pihak saya dan anak-anak, kami menerima nafkah ini.” Haa… kalau begini barulah jelas ia bukan harta pusaka. Inilah sebenarnya kaedah yang terbaik untuk mengelakkan sebarang perselisihan tentang kedudukan beras gula.

 

Tetapi kalau si suami balik ke rumah dan berakad, “Yang, beras dan gula yang abang beli ni jangan dimakan pula, mak bagi duit kat abang dan minta abang belikan. Esok abang nak hantar ke rumah mak.” Maka pastinya beras gula itu tidak menjadi harta pusaka dan tidak boleh juga dimakan anak isteri kerana si suami tadi hanyalah orang yang menjalankan tanggungjawab membeli bagi pihak maknya.

 

Kalau suami berakad pula, “Yang kalau nak makan beras gula ini minta dulu keizinan dari abang sebab abanglah tuan punya beras gula ni!” Jika begini pula akadnya maka ia sah menjadi harta pusaka dan wajib diagihkan kepada waris faraid mengikut bahagian masing-masing kecuali jika mereka melepaskan hak mereka kepada waris berhak yang lain.

 

Jadi dalam kepeningan kita bercerita bab beras gula ini, ada dua sudut pandang yang berbeza iaitu dari segi hukmi (hukumr) dan dari segi urf. Jadi yang mana satu sebenarnya yang betul?

 

Pada pandangan peribadi saya tiada yang salah dalam kedua-dua pandangan itu. Kedua-duanya pun betul. Paling penting akad itu perlulah jelas dan difahami oleh semua pihak. Waris-waris faraid perlu diberikan penjelasan lengkap dan faham tentang kedua-duanya supaya mereka boleh bermuafakat bab beras gula ni.

 

Alhamdulillah semenjak beroperasi pada 2004, Wasiyyah Shoppe Berhad berjaya memahamkan dan memuafakatkan waris-waris faraid tentang kedudukan harta-harta ini. Selepas 17 tahun beroperasi, belum pernah sekalipun beras dan gula menjadi asbab waris-waris berbalah bagi kes yang dikendalikan oleh Wasiyyah Shoppe Berhad!   

 

ariffinsabirin
Tn Haji ARIFFIN SABIRIN adalah Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad.
ariffinsabirin

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags