Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Apa Kata Media Cina - 9 April 2022

BENARKAH KERAJAAN “MAKAN” DUIT KWSP?

Nanyang Siang Pao, 6 April 2022

 

 

 

TEKANAN bertubi-tubi daripada ahli dan parti politik menyebabkan kerajaan terpaksa akur untuk membenarkan rakyat membuat pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada April ini.

 

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, isu pengeluaran KWSP menjadi pertikaian antara kerajaan dengan ahli-ahli politik.

 

Begitu juga ramai netizen yang bersetuju dengan pengeluaran khas KWSP, telah melontarkan hujah-hujah pedas mengenai KWSP.

 

KWSP

 

Antara hujah mereka:

1. Duit KWSP adalah duit kita! Jadi kita berhak untuk menggunakan dan menguruskannya.

 

Perlu ditekankan secara tegasnya, bahawa lebih separuh daripada deposit KWSP bukan daripada wang hasil titik peluh sendiri kecuali bagi mereka yang bekerja sendiri dan mencarum sendiri.

 

Ini kerana kadar caruman ahli setiap bulan adalah 11 peratus manakala caruman daripada majikan mereka adalah 12 atau 13 peratus.

 

2. Deposit KWSP adalah faedah persaraan.

 

Melihat kepada seluruh dunia, had umur pengeluaran bukanlah idea asal KWSP tetapi adalah ciri umum dana pencen setiap negara.

 

Jika tidak, dana ini akan hilang kepentingannya sebagai perbelanjaan sara hidup selepas bersara.

 

KWSP

 

3. Bagi mereka yang ada membeli insurans hayat atau simpanan, sangat jelas bahawa mereka tidak boleh mengeluarkan wang daripada polisi dalam tempoh masa tertentu (tiada  nilai tunai), tetapi nilai perlindungan dan pulangannya adalah stabil.

 

Manakala deposit KWSP hanya boleh dikeluarkan pada umur 55 tahun, tetapi  “nilainya” ada tambahan 12 atau 13 peratus daripada caruman majikan setiap bulan.

 

Oleh itu, mengambil kira nikmat faedah ini, bukankah lebih rasional jika kita terus mematuhi “peraturan permainan” iaitu simpanan hanya boleh dikeluarkan pada usia 55 tahun?

 

Selain itu ada juga hujah mengatakan jika duit KWSP tidak dikeluarkan secepat mungkin, ia akan `disia-siakan oleh kerajaan'.

 

Tetapi selama bertahun-tahun, belum pernah terdengar aduan daripada ahli KWSP yang tidak dapat mengeluarkan wang mereka selepas genap 55 tahun.

 

KWSP

 

Deposit KWSP juga adalah dilindungi oleh undang-undang dan peraturan berkaitannya adalah sangat jelas dan telah ditetapkan. Malah mempunyai jaminan kadar pulangan dividen minimum 2.5 peratus setahun.

 

Bermakna kadar dividen minimum ini adalah dilindungi oleh undang-undang, bukan pihak yang berkuasa kerana tiada sesiapa termasuk kerajaan yang boleh melangkaui undang-undang.

 

Tidak dinafikan sudah tentu ada pihak atasan yang berkuasa untuk menggunakan dana tabung simpanan atas tujuan pelaburan bagi menyelamatkan syarikat-syarikat kroni yang bermasalah.

 

Namun melihat kepada prestasi bayaran dividen yang baik sejak beberapa dekad yang lalu, berbanding dengan pelaburan dan pengurusan wang individu sendiri maka boleh disimpulkan deposit KWSP sebenarnya telah diuruskan dengan baik oleh pihak tersebut.

 

Finewealth Management Sdn Bhd, Felix Neoh
                                          Felix Neoh

 

Pengarah Perancangan Kewangan Finewealth Management Sdn Bhd, Felix Neoh percaya bahawa prestasi pelaburan KWSP adalah baik dan sifar risiko dengan pembayaran dividen adalah lebih baik daripada bank.

 

Masalahnya adalah deposit aktif dihadkan kepada RM60,000 setahun dan terdapat sekatan ke atas pengeluaran.

 

Justeru itu, KWSP adalah salah satu saluran untuk menambah kekayaan tetapi tidak sepatutnya menjadi satu-satunya saluran.

 

Bagi mereka yang sanggup menanggung risiko, boleh mencari saluran pelaburan lain dengan risoko lebih tinggi untuk mendapat pulangan lebih tinggi. - DagangNews.com

 

 

Artikel-artikel ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao 6 April 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags