Skip to main content
DagangNews.com
Kolum MULANYA DI SINI - 27 June 2022

Beli Sekarang, Bayar Kemudian sahajalah!

Oleh Wan Mohd Farid Wan Zakaria

 

 

 

SEJAK pandemik COVID-19 membadai negara, banyak perniagaan yang telah beralih kepada platform pembayaran: beli sekarang, bayar kemudian atau lebih dikenali sebagai Buy Now, Pay Later (BNPL).

 

Ini adalah platform alternatif yang disasarkan kepada generasi milenia serta buat kebanyakannya pengguna yang tidak mempunyai kad kredit.

 

Bagi yang tidak pernah tahu tentang kewujudan platform pembayaran ini, pada dasarnya ia berfungsi seperti kad kredit.

 

Platform ini membolehkan pengguna membuat pembelian dengan membahagikan kos kepada ansuran bulanan dengan faedah 0% (bergantung kepada penyedia BNPL) dalam tempoh yang telah ditetapkan. Adakah BNPL ini sama seperti kad kredit?

 

Bagaimana BNPL Berfungsi?

BNPL merupakan alternatif pelantar pembayaran yang menawarkan akses mudah untuk pembelian barangan mahupun mendapatkan perkhidmatan secara kredit dalam talian.

 

Ia membolehkan pengguna untuk membeli belah dalam talian  dengan melakukan pembayaran dalam bentuk ansuran tanpa faedah bergantung kepada tempoh yang ditetapkan, sama ada satu, dua, tiga bulan atau lebih.

 

Tetapi, jika pengguna memilih tempoh yang lebih lama, ia mungkin dikenakan kadar faedah. Penyedia BNPL akan menyelesaikan bil pembeli secara langsung dengan peniaga.

 

Sama seperti kad kredit, pengguna akan dikenakan penalti jika tidak membayar tepat pada waktunya, dan caj ini adalah berbeza bergantung kepada penyedia perkhidmatan BNPL ini.

 

 

Buy Now, Pay Later

 

 

Antara penyedia perkhidmatan yang popular di Malaysia ialah ShopeePay, Atome, PayLater (Grab), myIOU dan lain-lain.

 

Pertumbuhan pesat penyedia perkhidmatan BNPL ini adalah disebabkan trend pembelian dalam talian yang meningkat, populasi celik digital, kemudahan pembayaran serta norma baharu selepas pandemik dan ciri keselamatan yang sentiasa dipertingkatkan.

 

Untuk menggunakan perkhidmatan BNPL, kebanyakan penyedia perkhidmatan ini hanya memerlukan gambar kad pengenalan pengguna dan butiran kebiasaan pendaftaran seperti nama, e-mel, nombor telefon, alamat rumah, dan banyak lagi.

 

Ia berbeza dengan permohonan kad kredit yang memerlukan dokumen seperti penyata pendapatan, penyata bank, maklumat pekerjaan dan perlu melalui proses penilaian kredit.

 

Di samping itu, permohonan kad kredit juga perlu memenuhi syarat gaji minimum yang telah ditetapkan oleh institusi kewangan sebelum seseorang itu layak mendapat akses kepada kad kredit.

 

Inilah yang menjadikan BNPL berjaya menarik lebih ramai pengguna untuk menggunakan perkhidmatan ini.

 

Jangan Terjerat Dengan Jerat Kewangan

Tidak semua pengguna memahami bahawa bila mereka menggunakan perkhidmatan BNPL, mereka sebenarnya telah membuat satu lagi hutang baharu.

 

Mereka tertarik dengan pelan pembayaran ansuran yang mudah dengan jumlah yang dipecahkan lebih kecil bergantung kepada tempoh bayaran serta tiada kaedah yang dikenakan.

 

 

mulanya di sini

 

 

Ini mengheret pengguna yang buta perancangan kewangan ke neraka kewangan kerana mereka mempunyai aliran tunai yang terhad tetapi tidak mampu melawan nafsu berbelanja.

 

Mengikut peraturan praktikal untuk keselamatan kewangan, pengguna perlu tahu bagaimana untuk merancang belanjawan serta mengawal aliran tunai keluar-masuk mereka.

 

Tetapi melalui akses BNPL, ia sebenarnya mempunyai muslihat ilusi kewangan di mana ia membuat pembeli menganggap mereka membeli produk dengan harga yang lebih murah daripada yang sebenarnya kemudian hilang kawalan terhadap perbelanjaan mereka.

 

Hakim (bukan nama sebenar) berkongsi tentang pengalaman bagaimana dia boleh terheret ke neraka kewangan dengan mengguna BNPL secara membabi buta tanpa memikir kesan terhadap aliran tunai bulanan.

 

Dengan menggunakan BNPL, katanya, pembelian dalam talian secara puratanya telah meningkat dari RM100 sebulan hingga ke RM1,000 sebulan.  

 

Semasa pesanan pembelian tiba di pintunya dia berasa gembira kerana dia dapat berbelanja dengan lebih mudah. Dan semua barang yang ingin dia miliki dapat di beli secara mudah dengan kewujudan pelantar BNPL ini.

 

Tetapi lama kelamaan, rasa sesal mula timbul apabila bayaran ansuran meningkat kepada RM1,000 sebulan disebabkan lebih daripada 10 bayaran ansuran BNPL yang perlu ditanggung menyebabkan dia tidak lagi mampu menampung hutang ini dan mula dikenakan kadar faedah dan caj penalti.

 

Akhirnya dia terpaksa bekerja sebagai penghantar makanan sambilan selepas waktu kerja dan pada hujung minggu selama beberapa bulan untuk menyelesaikan segala hutang dan menutup aplikasi BNPL buat selamanya.

 

 

mulanya di sini

 

 

Teruk Sangat ke BNPL?

Jawapannya adalah TIDAK! Kerana jika anda celik kewangan, anda tidak akan secara semberono menggunakan perkhidmatan BNPL ini.

 

Sebenarnya perkhidmatan BNPL ini amatlah menguntungkan jika digunakan dengan bijak, alternatif pembayaran ini membolehkan pengguna membeli barang dan mendapatkan perkhidmatan yang sangat diperlukan tanpa merosakkan menjejaskan aliran tunai dengan syarat melakukan pembayaran pada masa yang ditetapkan dan masih mempunyai simpanan bagi tujuan kecemasan.

 

Pengguna hanya perlu elakkan menggunakan pembayaran BNPL ini sebagai alasan untuk menghalalkan mereka untuk membeli lebih banyak barang daripada perlukan.

 

Memetik kata Warren Buffet:

"Risiko datang dari perkara atau tindakan yang anda tidak tahu apa yang anda lakukan."

 

Hampir setiap perkara atau tindakan yang kita ambil mempunyai risiko tersendiri .

 

Pengguna mungkin merasakan dengan wujudnya alternatif pembayaran BNPL ini akan memudahkan urusan pembelian dalam talian tetapi mereka tidak sedar tentang wujudnya perangkap jika ia tidak digunakan dan dimanfaatkan dengan betul.

 

Oleh itu, sebelum anda membuat keputusan menggunakan perkhidmatan ini, pastikan anda memahami bagaimana BNPL ini berfungsi dan apa faedah serta keburukan menggunakan perkhidmatan ini.

 

Dengan kesedaran kewangan yang tinggi ditambah disiplin dalam perancangan belanjawan, anda akan mempunyai lebih banyak kawalan terhadap aliran tunai dan tidak akan terperangkap dalam neraka kewangan. Ingat, ukur baju di badan sendiri!  - DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Ketua Jabatan Penjenamaan Korporat Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED) Universiti Teknologi MARA

 

Portfolio Tags