Bank Islam kini di Bursa Malaysia, wajar jadi kebanggaan kita | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 12 October 2021

Bank Islam kini di Bursa Malaysia, wajar jadi kebanggaan kita

 

 

PENGAMBILALIHAN status penyenaraian BIMB Holdings Bhd. oleh Bank Islam Malaysia Bhd. pada Jumaat lalu, mencatatkan satu lagi sejarah dalam sistem kewangan Islam tanah air. Dengan pengambilalihan ini, Bank Islam telah mengambil peranan sebagai syarikat induk dan BIMB menjadi anak syarikat kepada Bank Islam.

 

Dengan penyenaraian tersebut juga, BIMB telah dinyahsenarai daripada Pasaran Utama Bursa Securities. Bank Islam akan menggunakan nama pendek saham sedia ada (BIMB), kod saham (5258) dan kod nombor pengenalan sekuriti antarabangsa (ISIN) BIMB (MYL525800008).

 

Bagi penulis terdapat beberapa hikmah apabila Bank Islam disenaraikan di Bursa Malaysia. Salah satu daripada tujuan penyenaraian ini ialah Bank Islam akan mendapat akses daripada pasaran modal.


 
Suntikan modal menerusi dana yang datang daripada pasaran modal dapat menyokong initiatif Bank Islam untuk terus menyumbang kepada industri kewangan Islam dengan penciptaan produk-produk dan perkhidmatan payuh syariah yang lebih inovasi, dinamik dan canggih.

 

Salah satu perkara yang menjadi kekuatan pelanggan Bank Islam ialah kepercayaan kepada institusi perbankan Islam tersebut. 

 

Bank Islam

 

 

Dengan penyenaraian ini, ia membuka peluang kepada pelanggan-pelanggan tegar Bank Islam bertindak sebagai pelabur untuk terlibat secara langsung dalam pertumbuhan ekuiti dan masa hadapan bank ini.

 

Modal Bank Islam akan menjadi semakin kukuh dan ia sudah tentu akan mendapat penilaian kredit yang baik daripada agensi-agensi penarafan di dalam dan luar negara. 

 

BACA JUGA : Bank Islam kini institusi perbankan Islam tulen, lengkap disenaraikan di Bursa Malaysia

 

Malah, Bank Islam yang akan muncul sebagai satu-satunya institusi kewangan Islam lengkap tersenarai di rantau ini, secara tidak langsung meningkatkan status kedudukan korporat mereka. 

 

Hasilnya, kedudukan kukuh Bank Islam dalam pasaran kewangan dan modal Islam terserlah, sekali gus memanfaatkan pertumbuhannya dalam usaha mengembangkan asas pelanggan.

 

Bank Islam juga akan mendapat kuasa penuh dalam menjalankan dan meneruskan strategi korporat dan perniagaan. 

 

Dengan kuasa autonomi penuh ini, Bank Islam mampu menerapkan inisiatif pengurusan modal, termasuklah menumpukan kepada inisiatif ekonomi sosial yang sememangnya menjadi teras utamanya untuk memungkinkan kemunculan kembali ekonomi asas ketuhanan yang dipraktikkan pada zaman Rasulullah S.A.W. 

 

Perkongsian rezeki daripada keuntungan halal dan berkat ini oleh Bank Islam dapat dikongsi bersama oleh masyarakat melalui sumbangan seperti zakat, infaq, sedeqah, pinjaman tanpa faedah dan cukai, terutama kepada rakyat yang memerlukan di zaman pandemik sekarang.

 

Hasrat Bank Islam untuk berada di kedudukan utama dalam menawarkan penyelesaian kewangan lengkap Syariah-ESG dengan menerajui perbankan digital dan kewangan sosial menjelang 2025 juga akan mudah dicapai dengan penyenaraian ini. 

 

Malah, ia akan menyumbang kepada proses pemulihan dan kebangkitan ekonomi Malaysia yang kita cintai. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS)
Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

 

Portfolio Tags