Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Anekdot Mawarith - 7 September 2020

aaa

                                                                 BALU SELALU TERTINDAS BAB PUSAKA?

Sehari dua ini kecoh hal pusaka seorang artis terkenal. Waris-waris serang menyerang dan saman menyaman. Netizen pun ramai yang ulas dengan komen masing-masing. Ada yang sokong balu dan ada yang sokong keluarga simati. Kecoh seantero Malaya dengan kes ini. Komen-komen netizen ni pulak kebanyakan menghangatkan lagi suasana dan bukannya meredakan keadaan.

Situasi ini biasa saya lihat sepanjang 22 tahun pengalaman di dalam bidang ini. Betulkah balu selalu tertindak bila berlaku kematian? Adakah hukum syarak dan undang-undang Syariah di Malaysia ini memang tidak menyebelahi balu? Kenapa masalah ini kerap berlaku?

Pada pengamatan saya, sebenarnya peruntukan untuk balu menuntut harta pusaka itu sebenarnya banyak. Cuma kadang-kadang ia tidak diketahui.

Sebaik sahaja suami meninggal dunia, perkara pertama yang balu kena tahu ialah sekiranya rumah yang didiami itu milik suami, maka balu boleh untuk tinggal di rumah itu selama 4 bulan 10 hari (selagi tempoh iddah). Tiada mana-mana waris si suami boleh menghalau balu keluar dari rumah itu dalam tempoh tersebut.

Sekiranya rumah itu ialah rumah sewa pula, balu boleh menggunakan duit si mati pada kadar sewaan rumah itu bagi tempoh 4 bulan 10 hari (tempoh iddah). Namun ia akan amat membantu sekiranya balu ada menggunakan duit simati sebelum harta pusaka diagih kepada waris-waris yang berhak, penggunaan duit itu dicatat dengan rapi dan didedahkan kepada waris-waris lain sebagai bukti duit itu digunakan untuk apa.

Bagi kes rumah dimiliki oleh suami, jika balu takut selepas tamat tempoh iddah 4 bulan 10 hari itu dia akan dihalau oleh waris-waris lain, maka mohonlah perintah injunksi (perintah menghalang) rumah itu daripada diagihkan kepada waris-waris mengikut hukum faraid sehinggalah tuntutan harta sepencarian balu terhadap rumah itu selesai.

Balu boleh menuntut harta sepencarian dari rumah itu dan terserah kepada mahkamah syariah untuk memutuskan berapakah bahagian yang layak dimiliki oleh balu tersebut. Ada kes mahkamah syariah putuskan hak balu ialah separuh dari rumah itu. Ada juga mahkamah syariah putuskan 1/4, 1/3 atau apa-apa kadar yang difikirkan munasabah oleh mahkamah syariah bersesuaian dengan tahap sumbangan balu ke atas pemilikan rumah itu.

Daripada huraian ini, jelas menunjukkan bahawa balu sebenarnya boleh ‘secure’ haknya untuk menetap di rumah simati atau hak untuk mendapat rumah simati. Cuma balu hendaklah tahu apa caranya untuk bertindak.

Ada perbincangan hangat juga tentang sama ada waris-waris simati bertanggungjawab untuk menanggung nafkah dan memberi tempat tinggal kepada balu simati bagi tempoh 12 bulan selepas kematian simati. Ayat 240 Surah Al Baqarah menyatakan tentang kewajiban ini. Banyak pihak mempromosikan ayat ini tanpa mengetahui bahawa kewajiban ini sudahpun Mansukh apabila selepas itu, turunnya ayat-ayat pewarisan yang menetapkan bahagian isteri ialah 1/4 ( jika tiada anak ) dan 1/8 ( jika ada anak ).

Namun ada perbezaan pandangan ulama tentang kemansukhan ayat ini. Ada ulama kata Mansukh. Ada ulamak kata tidak Mansukh. Namun saya harap janganlah ada pihak di luar sana yang mengeneralisasikan hukum ini sebagai Wajib kerana ada perbezaan pandangan ulama di situ.

Apapun memang menjadi tanggungjawab suami untuk memastikan apabila ia meninggal dunia, hak isterinya terjaga. Selain daripada harta sepencarian, suami juga boleh membuat hibah kepada isteri. Dia boleh menghibahkan sebuah rumahnya kepada isteri. Apabila semua rukun dan syarat hibah ini terlaksana, maka hibah itu sah dan isteri itu memilikilah rumah itu. Tak perlulah rumah itu dibahagikan mengikut faraid.  

Hibah ialah cara paling mudah untuk isteri mendapat bahagian tanpa terkait dengan apa-apa formula. Suami masa hidup sekarang pun sudah mula menjangka agak-agak bagaimana perhubungan antara isterinya dengan waris-waris yang lain. Jika suami dapat ‘rasa’ perhubungan mereka akan bermasalah, maka gunakanlah kaedah hibah.

 

aaa

Kenapa masalah balu tertindas ini berlaku? Pada pemerhatian saya, banyak faktor yang menyebabkannya tetapi saya akan kemukakan beberapa faktor yang paling biasa.  

Faktor pertama ialah emosi keluarga dan balu. Jika arwah suami ialah anak harapan kebanggaan keluarganya baik dari segi emosi mahupun dari segi kewangan, bila arwah meninggal dunia, ia meninggalkan vakum yang sangat besar dan emosi keluarganya terganggu. Saya biasa jumpa kes-kes pusaka kematian anak harapan ini bermasalah kerana perasaan ‘protective’ yang sangat tinggi dari keluarganya. Keluarga akan berkecenderungan untuk menguasai seberapa banyak harta arwah yang boleh kerana arwah ialah darah daging mereka.

Dalam masa yang sama, balu juga terjejas emosinya terutama bagi balu suri rumahtangga sepenuh masa yang kehidupannya bergantung kepada arwah suami. Pertembungan kedua-dua pihak ini jika tidak diurus dengan baik akan mencetuskan tsunami.     

Faktor kedua ialah dari segi pengurusan kes. Oleh kerana emosi yang tinggi dari kedua-dua pihak keluarga dan balu, apa sahaja yang disebut oleh satu pihak akan disalah tafsir oleh pihak yang lain. Oleh itu adalah lebih baik pihak profesional seperti Wasiyyah Shoppe Berhad yang merupakan syarikat amanah berdaftar, memainkan peranan sebagai pihak ketiga. Atas sifatnya sebagai profesional, Wasiyyah Shoppe Berhad boleh berada pada keadaan yang lebih neutral untuk bersuara dan memberikan cadangan penyelesaian. 

Faktor ketiga ialah galakan netizen. Ini faktor yang sepuluh tahun lepas saya tak jumpa. Hari ini ia agak signifikan. Pandangan-pandangan netizen yang berat sebelah dan tegar menyokong satu pihak sedikit sebanyak mempengaruhi tindakan dan tindak balas balu mahupun keluarga. Ia menghangatkan lagi suasana, memburukkan situasi dan menyukarkan penyelesaian kes.

Kesimpulannya, dalam kehidupan hari ini , apapun boleh berlaku akibat harta pusaka. Saya pernah lihat dengan mata sendiri, adik meludah muka kakak kandung dan banyak lagi insiden yang tidak masuk akal. Baik hukum syarak mahupun undang-undang syariah, sebenarnya sudah lengkap untuk melindungi hak seorang balu. Cuma balu itu kena tahu apa tindakan yang mesti diambil.

Senang cerita kalau tidak mahu balu tertindas, para suami bertindaklah hari ini juga selagi kita dipinjamkan nyawa untuk merancang harta kita. Kitalah penentu sama ada balu kita akan tertindas atau tidak selepas kematian kita.  

 

as

Ariffin Sabirin adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad. Untuk maklumat lanjut mengenai pengurusan harta secara Syariah sila klik di sini: Wasiyyah Shoppe

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

APA SEBENARNYA PUNCA MASALAH HARTA PUSAKA TERBEKU DI MALAYSIA?
Kita tinggalkan PUSAKA atau PUAKA?

"WARIS AKU CONFIRMED TAK GADUH PUNYA!"

RAMAI ORANG ISLAM TIDAK TAHU DIA SEDANG MENGALAMI KERUGIAN

APA YANG KECOH SANGAT PASAL PUSAKA NI?

 

Portfolio Tags