Bagaimana Malaysia terus kekal sebagai pilihan pelabur asing di rantau ini? | DagangNews.com Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 7 September 2022

Bagaimana Malaysia terus kekal sebagai pilihan pelabur asing di rantau ini?

 

 

DALAM proses pemulihan ekonomi, Malaysia perlu mengukuhkan pelaburan negara terutamanya pelaburan langsung asing (FDI).

 

Kegiatan FDI ini dapat merangsang ekonomi negara. Perkara ini amat penting negara dititikberatkan kerana FDI menjadi “nadi utama” bagi pendapatan negara serta membantu dalam pemulihan dan memajukan semula ekonomi negara pasca pandemik.

 

Apabila FDI masuk, maka permintaan terhadap ringgit akan meningkat dan ini  sekali gus membantu mengukuhkan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Jika Malaysia menjadi destinasi FDI, ringgit akan mengukuh dengan sendirinya dan kita tidak perlu bimbang lagi dengan masalah prestasi mata wang tempatan.

 

Selain itu, harga komoditi yang tinggi dan prospek pemulihan Malaysia juga bergantung kepada tekanan terhadap penurunan nilai ringgit.

 

volatiliti
Pembinaan sana sini di Malaysia menandakan pelaburan berterusan yang baik di dalam ekonomi negara. - Gambar Dagangnews

 

Prestasi semasa FDI

Melihat  kepada prestasi semasa Januari hingga Jun 2022, Malaysia menarik pelaburan yang diluluskan bernilai RM123.3 bilion (AS$28.0 bilion) dalam sektor utama, perkilangan dan perkhidmatan merangkumi 1,714 projek termasuk membuka 57,771 peluang pekerjaan. Ini menunjukkan satu prestasi yang agak baik buat negara.

 

Laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), FDI kekal sebagai penyumbang utama iaitu pada 70.9% atau RM87.4 bilion (AS$19.9 bilion), manakala pelaburan daripada sumber domestik menyumbang 29.1% berjumlah RM35.9 bilion (AS$8.2 bilion).

 

Selain itu, sektor perkhidmatan memainkan peranan penting dalam pemacuan pemulihan ekonomi negara, menyumbang 63.3% daripada jumlah pelaburan yang diluluskan atau RM78 bilion (AS$17.7 bilion) daripada 1,351 projek. Ia merekodkan kenaikan 48.8% berbanding RM52.4 bilion (AS$12.6 bilion) dalam nilai pelaburan bagi tempoh enam bulan pertama tahun sebelumnya.

 

Bagi sektor perkilangan pula, mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM43.1 bilion (AS$9.8 bilion), menyumbang 34.9%  daripada jumlah pelaburan yang diluluskan berbanding RM75.8 bilion (AS$18.3 bilion) bagi setengah tahun 2022.

 

Johor bantu Malaysia tingkat pelaburan negara

Dari jumlah FDI yang baik buat Malaysia, Johor antara negeri yang menyumbang kepada jumlah ini. Johor telah mencatatkan pelaburan paling tinggi dalam negara bagi tempoh Januari sehingga Jun 2022 iaitu sebanyak RM60.9 bilion, sekali gus menjadi pelaburan yang tertinggi pernah dicatatkan oleh negeri ini.

 

Pelaburan Johor ini adalah peningkatan sebanyak 822% daripada RM6.6 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu. Terdahulu Johor mencatatkan pelaburan tahunan sebanyak RM12.3 bilion pada tahun lalu, RM11.9 bilion pada 2020 dan RM24.5 bilion pada 2019.

 

Sektor perkhidmatan adalah penyumbang terbesar dengan pelaburan sebanyak RM54.2 bilion, susulan kehadiran firma pusat data yang berpangkalan di luar negara ke negeri Johor. Selain itu,  sektor perkilangan mampu  menarik pelaburan luar yang memberangsangkan iaitu sebanyak RM6.7 bilion di negeri Johor.

 

volatiliti

 

Strategi kerajaan negeri Johor dengan memberi tumpuan terhadap penyediaan infrastruktur asas dan insentif pelaburan yang menarik, mengekalkan hubungan luar dan memastikan kelangsungan perniagaan telah memberikan keyakinan kepada pelabur untuk melabur di Johor.

 

Johor adalah antara lima negeri utama selain Selangor, Sabah, Kedah dan Pulau Pinang yang menyumbang RM103.5 bilion (AS$23.5 bilion) atau 83.9% daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.

 

Malaysia kedudukan nombor 1 di Asia Tenggara

Indeks Peluang Global Milken Institute 2022 meletakkan Malaysia berada di kedudukan nombor 1 di Asia Tenggara sebagai negara paling berpotensi untuk menarik pelabur asing dalam kategori negara membangun.

 

Penilaian ini merangkumi pembolehubah yang popular masa kini iaitu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). ESG adalah agenda global dan semua industri perlu mematuhi dan memastikan mereka turut menerapkan elemen ini dalam perniagaan. Pelaksanaan ESG juga turut disokong oleh kerajaan dan memastikan ekosistemnya di Malaysia turut kekal kukuh.

 

Dengan  penilaian kedudukan nombor 1 di Asia Tenggara ini, membuatkan FDI tertarik dengan Malaysia dan membantu pelabur global dan pembuat dasar menilai sebuah landskap pelaburan ekonomi dengan menggunakan prospek ekonomi makro, akses kepada perkhidmatan kewangan, potensi untuk inovasi dan pembangunan masa depan sebagai penilaian.

 

Bagi mengekalkan Malaysia sebagai tarikan pelabur serantau, kerajaan perlu terus mengukuhkan rangka kerja dengan negara serantau dengan memperdalamkan integrasi serantau untuk memanfaatkan sumber dan peluang unik bagi setiap negara serta memaksimumkan impak sosial dengan memanfaatkan aliran modal global untuk memajukan pembangunan pelaburan negara.

 

China rakan pelabur terbesar Malaysia

China dilihat sebagai pelabur utama Malaysia berdasarkan daripada jumlah FDI yang diluluskan, China mendominasi pelaburan bernilai RM48.6 bilion (AS$11 bilion).

 

Hubungan dagang Malaysia-China memang telah lama wujud. Sebelum ini dengan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) membabitkan 15 negara anggota yang menjadi perjanjian perdagangan bebas (FTA) terbesar disertai Malaysia dijangka mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dengan China.

 

volatiliti

 

Pelbagai insentif cukai menarik diperkenalkan dalam menjadikan Malaysia pilihan utama pelabur China. Pelabur China juga memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka kerana Malaysia memiliki kelebihan kompetitif berbanding negara lain antaranya sebagai hab teknologi canggih, pintu gerbang pasaran Asean dan pelaburan terjamin.

 

Selain China, pelaburan asing negara diikuti Jerman (RM9 bilion atau AS$2 bilion), Singapura (RM6 bilion atau AS$1.4 bilion), Brunei (RM5.1 bilion atau AS$1.2 bilion) dan Belanda (RM4.1 bilion atau AS$900 juta).

 

Jangan bandingan Malaysia dengan Indonesia

Ramai juga yang “memomok-momokkan” kini Malaysia telah ketinggalan di belakang Indonesia dari segi FDI. Tidak dinafikan Indonesia kini telah melangkah dengan baik bagi FDI untuk negara mereka.

 

Namun begitu, Malaysia tetap mempunyai kelebihan tersendiri berbanding Indonesia. Malaysia telah lama dilihat sebagai negara yang lebih mesra perniagaan didorong oleh dasar yang menarik syarikat asing menubuhkan operasi tempatan.

 

Malaysia menjadi hab perniagaan yang menarik sejak beberapa dekad lalu atas beberapa sebab seperti pengawalseliaan perniagaan yang positif, pengaturan yang baik bagi ekspatriat dan pekerja asing berkemahiran rendah, keseimbangan yang baik antara kos buruh dan tahap kemahiran serta infrastruktur yang kukuh.

 

Malaysia miliki ekosistem baik, tarik pelaburan semikonduktor 

Malaysia memiliki ekosistem yang baik bagi menarik kemasukan lebih banyak pelaburan langsung asing dalam industri semikonduktor di rantau ini.

 

Dalam bidang semikonduktor, Malaysia memiliki infrastruktur yang sesuai merangkumi jurutera, kontraktor dan arkitek mengikut standard antarabangsa untuk menjadikan Malaysia sebagai hab global yang kukuh.

 

volatiliti

 

Dek kerana ini, industri ini mengalami pertumbuhan yang tinggi dengan memiliki transformasi digital dan teknologi baharu bagi memenuhi permintaan yang meningkat terhadap semikonduktor.

 

Jika dilihat melalui  prestasi terdahulu juga, industri elektrik dan elektronik (E&E) meraih peluang pelaburan terbesar pada 2021, membabitkan 94 projek diluluskan bernilai RM148 bilion yang melahirkan 28,362 peluang pekerjaan.

 

Malaysia tarik projek berkualiti, berimpak tinggi serta berintensif modal

Selain pelaburan semikonduktor, Malaysia berada di landasan yang betul untuk memperoleh lebih banyak projek berkualiti, berimpak tinggi serta berintensif modal, dengan perkhidmatan menjadi pemacu pertumbuhan utama ekonomi dan penyumbang terbesar pelaburan pada tahun 2022.

 

Malaysia akan  terus mengukuhkan daya saing negara melalui pembangunan ekonomi yang kompleks, memupuk ekosistem perindustrian yang kukuh dengan intensiti inovasi, meningkatkan keterangkuman dengan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi termasuk mempromosikan peluang untuk mengambil bahagian dalam rantaian bekalan serantau dan global.

 

Terkini, Malaysia dilihat sedang mempergiatkan fokus ke arah sektor seperti ekonomi digital, elektrik dan elektronik, farmaseutikal, kimia serta aeroangkasa yang mempunyai potensi ekonomi yang signifikan dan pertumbuhan jangka panjang yang mampan dan mampu menarik lebih banyak FDI ke Malaysia.

 

Pilih FDI, ekonomi atau politik?

Melihat kepada ekonomi semasa, apa yang dapat dirumuskan ialah proses pemulihan ekonomi negara  masih berdaya tahan pada suku ketiga tahun 2022 ini.

 

Berasaskan indikator daripada indeks pelopor yang meningkat sebanyak 0.4% bulan ke bulan kepada 111.3 mata sekali gus menunjukkan prestasi yang lebih baik dan menggalakkan dalam ekonomi Malaysia. Situasi ini membuatkan FDI terus yakin dengan ekonomi Malaysia.

 

volatiliti

 

Namun begitu FDI juga “lebih tertarik” kepada negara yang mempunyai kestabilan politik. Ketidakstabilan politik dan ketidakpastian dasar berpotensi menjadi faktor utama mendorong pelabur lari ke negara lain dan bukannya Malaysia.

 

Apa yang diharapkan pembubaran parlimen dan PRU kelak “berlaku dengan tenang” dan tidak mengancam FDI Malaysia!      – DagangNews.com

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Segamat dan merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags