Skip to main content

Awantec sasar latih 5,000 pekerja dalam sektor awam pada FY23

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Julai - AwanBiru Technology Berhad (Awantec) yang dilantik sebagai Rakan Latihan Sah Google Cloud (ATP) menyasarkan untuk melatih 5,000 pekerja dalam sektor awam bagi FY23.

 

Syarikat itu kini boleh memberikan kursus yang diperakui daripada platform awan Google kepada pengguna termasuk di dalam sektor awam dan swasta.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rezal Rahman berkata, Awantech akan menyokong kerajaan dalam usahanya untuk melaksanakan Pelan Tindakan Digital dan mencapai matlamat transformasi digital terutama dalam meningkatkan kemahiran.

 

"Sebagai permulaan, kami menyasarkan untuk menjalankan latihan ke atas 5,000 peserta pada FY23.

 

"Latihan dan peningkatan kemahiran disampaikan dalam pelbagai cara termasuk dalam talian, atas permintaan serta latihan dalam kelas serta makmal dan bengkel," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Awantec kini merupakan rakan kongsi utama Google Cloud yang berkhidmat untuk sektor awam Malaysia.

 

Beliau berkata, syarikat itu berusaha menawarkan latihan rasmi kepada pekerja sektor awam sambil memperkasakan mereka untuk mengguna pakai teknologi Google Cloud berdasarkan penggunaan dan peralihan ke arah pendigitalan.

 

Katanya, Awantec diiktiraf atas pencapaiannya dalam ekosistem Google Cloud terutama dalam membantu pelbagai agensi kerajaan di Malaysia meningkatkan kecekapan dan produktiviti melalui kerjasama transformasi digital.

 

"Kelebihan Awantec adalah dalam pasukan ATP, kami bekerja seiring dengan penyedia perkhidmatan dalam menyediakan penyelesaian daripada migrasi dan latihan.

 

"Ia juga adalah selaras dengan strategi syarikat untuk meluaskan rangkaian produk dan penawaran perkhidmatan selain meluaskan pangkalan pelanggan kami pada masa hadapan," katanya.

 

Awantec menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Awan (CFA) dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd. pada Mac 2022.

 

Syarikat juga menyasarkan untuk menyokong agensi kerajaan dengan perkhidmatan awan seperti analisis data, migrasi awan dan penyepaduan sistem berasaskan awan, serta produk dan latihan yang berkaitan dengan kecerdasan buatan (AI) dan pemetaan pembelajaran mesin (ML), pengiraan , storan dan ruang kerja. - DagangNews.com