Zurich Malaysia sumbang peralatan perubatan bernilai RM1.03 juta untuk Hospital Sungai Buloh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Zurich Malaysia sumbang peralatan perubatan bernilai RM1.03 juta untuk Hospital Sungai Buloh

Junior Cho menyampaikan sumbangan peralatan perubatan kepada Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr. Kuldip Kaur A/P Prem Singh sambil disaksikan oleh Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Feb - Zurich Malaysia menyumbang sebanyak 18 unit peralatan perubatan bernilai RM1.03 juta kepada Hospital Sungai Buloh bagi membantu meningkatkan kapasiti sedia ada hospital berkenaan untuk menyediakan penjagaan perubatan terbaik kepada pesakit.

 

Penyerahan peralatan tersebut disaksikan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semasa lawatan rasminya ke hospital itu.

 

Peralatan tersebut diperuntukkan kepada Jabatan Anestesiologi & Penjagaan Rapi, Jabatan Perubatan Am, Jabatan Pediatrik dan Jabatan Oftamologi hospital berkenaan.

 

Sumbangan tersebut meliputi, enam monitor pesakit, lima pam infusi, tiga ventilator jarak pertengahan, dua laringoskop video dengan monitor mudah ali, sebuah peti sejuk dengan pintu ‘pass through’ dan penganalisis medan visual Humphrey 3.

 

Dana yang digunakan untuk mendapatkan peralatan tersebut diperoleh daripada inisiatif Eat Right to Play Right (ERTPR) Zurich Malaysia dan lebihan perniagaan takaful am Zurich General Takaful Malaysia Berhad (ZGTMB). 

 

Tranche sebanyak RM32,157 yang diperoleh daripada ZGTMB merupakan sebahagian usaha berterusan syarikat untuk menyumbang lebihan dana Tabarru’ bagi pihak pelanggan kepada tujuan dermawan atau menyelamatkan nyawa.

 

Khairy turut merakamkan penghargaan kepada pihak korporat yang telah bersama-sama kerajaan membantu meningkatkan kapasiti negara untuk menyediakan penjagaan perubatan bertaraf dunia kepada orang ramai. 

 

"Kami berterima kasih atas sumbangan Zurich Malaysia untuk membantu mengekalkan keupayaan penjagaan kesihatan awam dan memperkukuh usaha petugas barisan hadapan untuk berkhidmat kepada rakyat Malaysia. Sambil kami berusaha memberikan penjagaan terbaik untuk pesakit COVID-19, turut penting untuk kami terus memberikan rawatan perubatan kritikal. 

 

"Sumbangan sebegini adalah tepat pada masanya, menyokong usaha kerajaan untuk menyediakan rawatan perubatan terbaik untuk semua menggunakan peralatan dan kemudahan canggih," katanya.

 

Ketua Zurich Malaysia, Junior Cho pula berkata, memandangkan peningkatan permintaan terhadap penjagaan kesihatan sejak kebelakangan ini kian meningkat, syarikat secara aktif menyokong usaha kakitangan penjagaan kesihatan melalui pelbagai sumbangan. 

 

"Kami memutuskan untuk membuat sumbangan kedua kepada penyedia penjagaan kesihatan awam yang tidak berbelah bahagi dalam usaha mereka untuk menyediakan penjagaan kesihatan bertaraf dunia. Kami percaya sumbangan ini dapat membantu kakitangan penjagaan kesihatan yang berdedikasi menjaga pesakit dengan lebih baik dan seterusnya, membina masa depan lebih cerah untuk semua," katanya.

 

Ini merupakan sumbangan kedua Zurich Malaysia kepada Hospital Sungai Buloh dalam tempoh empat bulan, di mana sebelum ini telah menyumbangkan peralatan perubatan bernilai RM119,500 kepada Jabatan Obstetrik & Ginekologi daripada lebihan dana ZGTMB.

 

Bulan lalu, penyedia insurans itu menyumbang peralatan perubatan bernilai RM281,525 kepada Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM. 

 

Pada Oktober 2021, syarikat turut menyumbang hampir RM500,000 daripada lebihan perniagaan takaful amnya kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia untuk menampung penggunaan inisiatif vaksinasi mudah alih di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). - DagangNews.com