KUALA LUMPUR 8 Jun - Kajian 'Kaspersky Safe Kids' mendedahkan bahawa saluran YouTube muncul sebagai aplikasi paling popular di Malaysia untuk peranti Android dengan mencatatkan sebanyak 31%, bagi tempoh Mei 2022 hingga April 2023.
Manakala, aplikasi WhatsApp di tempat kedua dengan 19%, diikuti TikTok sebanyak 15% dan Roblox di tempat keempat (10%).
Untuk Windows, Google Chrome mencatatkan sebanyak 45%, Microsoft Edge (8%) dan aplikasi komunikasi kegemaran kanak-kanak, Discord di tempat ketiga dengan 9%.
Selain itu, kajian tersebut turut mendedahkan lagu 'Baby Shark' yang menjadi fenomena adalah lagu yang paling dicari kanak-kanak di YouTube.
Dari segi pilihan muzik, kumpulan pop Korea, Blackpink dan BTS, genre rap dan artis Puerto Rico Bad Bunny menjadi peneraju.
Miraculous: Tales of Ladybug & Cat Noir dan MSA pula menjadi kartun paling popular ditonton secara dalam talian, manakala blogger permainan paling 'trending' adalah Aphmau, Dream dan Technoblade.
Sementara itu, Pakar Analisis Kandungan Web Kaspersky, Anna Larkina berkata, kanak-kanak pada zaman moden menerima peranti atau telefon pintar di tangan mereka sejak awal usia dan mula mengemudi alam siber lebih awal.

"Di sana mereka boleh meneroka dunia, berkawan, bermain permainan dan belajar. Kaspersky meneliti pertanyaan dalam talian kanak-kanak untuk memahami perkara yang menggembirakan dan menarik minat mereka sepanjang tahun lalu.
"Analisis baharu adalah berdasarkan data tanpa nama, pertanyaan carian, aplikasi Android paling popular dan kategori tapak web yang diminta, yang disediakan secara sukarela oleh pengguna Kaspersky Safe Kids," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, semua trend adalah sama penting dan menarik kepada kanak-kanak, yang mana ibu bapa juga boleh menyertai dan melihat dengan lebih dekat arah aliran semasa untuk membina hubungan yang lebih mempercayai dengan anak mereka sendiri.
"Dalam hal ini, penyelesaian pembantu ibu bapa yang boleh dipercayai boleh menjadi bantuan sangat baik, selain memastikan kanak-kanak selamat yang boleh memaparkan perkara yang mereka minati," katanya. - DagangNews.com







