Yinson raih kontrak Enauta, cadang terbitan bonus | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yinson raih kontrak Enauta, cadang terbitan bonus

 

 


KUALA LUMPUR 20 Dis - Yinson Holdings Bhd.menerima surat hasrat (LOI) daripada Enauta Energia S.A bagi penyediaan, operasi dan penyelenggaran kemudahan terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) di medan Atlanta di Lembangan Santos di luar pesisir Brazil.

 

Kontrak itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Yinson Acacia Ltd., menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Nilai agregat bagi projek itu dianggarkan berjumlah AS$505 juta (termasuk perjanjian operasi dan penyelenggaraan selama 2 tahun) dengan kenaikan selanjutnya kepada AS$1.98 bilion (termasuk tempoh lanjutan selama 5 tahun) sekiranya Yinson melaksanakan pilihan saranan itu.

 

Malah, LOI itu turut disertakan dengan pilihan saranan yang dilaksanakan Yinson untuk mengambil alih syarikat pemilik aset projek itu dengan perjanjian carter-masa selama 15 tahun dan perjanjian operasi dan penyelenggaraan untuk tempoh yang sama dengan Enauta berhak melanjutkan terma-terma dalam perjanjian itu untuk tempoh lima tahun selanjutnya.

 

LOI itu turut mengikut pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Yinson dengan Enauta pada 27 Ogos 2021 untuk terlibat dalam rundingan eksklusif bagi potensi bekalan dan carter FPSO berkenaan.

 

Kontrak FPSO itu akan menjadi projek ketiga Yinson yang diraih di Brazil dengan 2 projek terdahulu berada di landasan untuk disiapkan, masing-masing pada 2023 dan 2024.

 

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, syarikat itu telah mencadangkan terbitan bonus satu-untuk-satu yang akan menyaksikan terbitan saham bonus sehingga 1.11 bilion. 

 

Tarikh kelayakan akan diumumkan selepas menerima semua kelulusan yang berkaitan.

 

Yinson turut mencadangkan terbitan hak boleh lepas berserta waran boleh cerai percuma sebaik sahaja terbitan bonus yang dicadangkan itu meningkatkan anggaran hasil kasar kira-kira RM1.1 bilion sehingga RM1.22 bilion.

 

Kedua-dua cadangan itu dijangka selesai pada suku kedua 2022.

 

Mengulas mengenai cadangan berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Yinson Group, Lim Chern Yuan berkata, kali terakhir kumpulan melaksanakan terbitan hak adalah pada 2014, selepas Yinson melengkapkan 4 projek FPSO. 

 

"Kali ini, sebahagian daripada cadangan ini akan digunakan untuk membayar pembiayaan bank, yang akan menghasilkan penjimatan faedah sehingga hampir RM22.5 juta. 

 

"Di samping itu, ia akan menyediakan modal tambahan untuk mempercepatkan pertumbuhan kami dalam perniagaan tenaga diperbaharui dan teknologi hijau," jelasnya. - DagangNews.com