Yes lancar kempen '5G for All' untuk semua rakyat Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yes lancar kempen '5G for All' untuk semua rakyat Malaysia

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (tengah) merasmikan kempen Yes '5G for All' di ibu negara, semalam.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Mei - Yes milik YTL Communications, syarikat pertama yang menawarkan rangkaian 5G di Malaysia melancarkan ‘5G for All’, sebuah kempen terulung yang membuka jalan buat rakyat Malaysia untuk mengakses rangkaian 5G, bila-bila masa dan di mana jua mereka berada. 

 

Melalui beberapa pengumuman baharu termasuk pelan-pelan Infinite terkini yang dipasarkan pada kadar termurah di pasaran, ‘5G for All’ akan merintis masa hadapan yang dikuasakan 5G untuk seluruh rakyat Malaysia. 

 

Lebih mengujakan ialah jalinan kerjasama dengan peranti strategik yang membekalkan telefon-telefon dikuasakan 5G membolehkan para pelanggan untuk menikmatinya secara percuma apabila mereka mendaftar untuk pelan tersebut. 

 

Pengarah Utusan YTL Communications Sdn Bhd, Datuk Yeoh Seok Hong berkata, mereka merupakan syarikat telco tempatan yang pertama untuk menawarkan 5G lima bulan lepas.

 

"Hari ini menandakan sebuah lagi pencapaian utama kami menerusi pelancaran fasa perjalanan kami yang seterusnya untuk membolehkan seluruh rakyat Malaysia mengakses pelan-pelan 5G dengan mudah. 

 

"Walaupun harga barangan semakin meningkat akibat inflasi semasa, kami sebaliknya menurunkan harga pelan data sebanyak 300% kepada sekitar RM0.30 per GB menerusi pelan data dan peranti percuma kami yang terkini, di mana ia menawarkan kelajuan data sebanyak 20 kali ganda.

 

“‘5G for All’ adalah komitmen kami untuk menawarkan perkhidmatan dan solusi 5G pada harga yang berpatutan untuk manfaat seluruh rakyat Malaysia. Kami menjemput rakyat Malaysia untuk ‘Switch to 5G’ bersama Yes dan nikmati pelan yang paling berpatutan, di samping telefon percuma yang dibekalkan dengan rangkaian 5G terbaik,” katanya dalam satu kenyataan.

 

 

yes

 

 

Tambahnya, menerusi kempen tersebut, syarikat berharap rakyat Malaysia akan terus kekal berhubung dengan Yes dalam peralihan kepada sebuah era untuk membolehkan rangkaian 5G Yes dinikmati. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Digital Nasional Berhad (DNB), Ralph Marshall berkata, DNB menyambut baik kempen Yes ‘5G for All’.

 

“DNB berasa sangat terdorong dengan maklum balas Yes milik YTL Communications di sepanjang perjalanan kami untuk membekalkan rangkaian 5G ke seluruh negara. Kami meraikan Yes selaku entiti 5G yang pertama dan membuka lembaran baharu menerusi kempen ‘5G for All’ mereka. 

 

"5G bakal memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha memacu ekonomi digital Malaysia. Menerusi pelancaran kempen ini, Yes dapat mengurangkan rintangan untuk membolehkan akses 5G yang berpatutan untuk seluruh rakyat Malaysia. Kami mengharapkan jalinan kerjasama yang berterusan untuk meningkatkan pelaksanaan 5G di Malaysia," katanya. - DagangNews.com