KUALA LUMPUR 13 Mac - Yayasan Sarawak dan SME Aerospace (SMEA) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama membangunkan industri aeroangkasa di Sarawak.
MoU itu bermatlamat untuk memupuk kerjasama dalam pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dan mewujudkan keupayaan serta permintaan pengembangan kapasiti industri, menurut satu kenyataan media bersama hari ini.
Menurut mereka, kerjasama strategik ini akan merancakkan perindustrian sektor pembuatan aeroangkasa dan memudahkan pelaksanaan projek berkaitan dengan memanfaatkan faedah dan kelebihan masing-masing, merangkumi kepakaran, tenaga kerja, maklumat dan sokongan.
Ia menambah bahawa kerjasama tersebut akan memberi tumpuan kepada perkongsian pengetahuan, pembangunan kemahiran dan bakat, pemindahan teknologi, serta inisiatif penyelidikan dan pembangunan bersama dalam bidang kejuruteraan aero berteknologi tinggi dan pembuatan struktur aero.
“Ini adalah sejajar dengan strategi Sarawak dan berfungsi sebagai pemangkin ekosistem penerbangan negeri untuk menarik penggiat industri lain merentasi rantaian nilai bagi menubuhkan pangkalan di Sarawak.
“Ia juga seiring dengan rancangan untuk merangsang ekonomi hijau Sarawak menerusi penggunaan hidrogen dan mikroalga sebagai bahan api penerbangan yang mampan,” katanya,
Pengarah Yayasan Sarawak, Mersal Abang Rosli berkata, kerjasama itu menepati permintaan tempatan dan antarabangsa dalam sektor komuniti perniagaan aeroangkasa.
Menurut beliau, ia juga selaras dengan inisiatif negeri untuk menyediakan pendidikan berkualiti, pembangunan modal insan dan menyediakan peluang kepada usahawan untuk mencipta masyarakat berpendapatan tinggi
“Kerjasama sedemikian bukan sahaja akan memberi manfaat kepada organisasi kami tetapi juga menyumbang kepada pembangunan keseluruhan dan visi industri aeroangkasa di Sarawak secara keseluruhannya" katanya.
Pengarah SME Aerospace, Datuk Suffian Eltradan Ahmad menambah bahawa kerjasama itu dijangka mempunyai potensi besar untuk mensinergikan kekuatan dan kepakaran satu sama lain.
“Bersama-sama, kita boleh mencapai kemajuan ketara dalam teknologi dan perkhidmatan aeroangkasa bernilai tinggi dan berteknologi tinggi di peringkat serantau dan global," katanya. - DagangNews.com








