Wilstech lancar eMOBIQ galak penyertaan PMKS, usahawan dalam ekonomi digital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wilstech lancar eMOBIQ galak penyertaan PMKS, usahawan dalam ekonomi digital

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Jun - Wilstech Sdn Bhd melancarkan eMOBIQ, platform pembangunan aplikasi mudah alih pantas (RMAD) tanpa kod bagi merancakkan penglibatan bakat dan perniagaan tempatan, terutamanya usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dalam pembangunan aplikasi menerusi platform tanpa kod.

 

Menerusi usaha ini, syarikat-syarikat ini akan dapat mempercepatkan proses pendigitalan untuk menggalakkan pertumbuhan perniagaan dengan cara yang lebih pantas, pintar, termampu dan terlindung.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Wilstech, Wilson Low berkata pelancaran eMOBIQ adalah tepat pada masanya dalam usaha syarikat meneroka peluang bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam kerajaan, perniagaan dan komuniti.

 

Menurut beliau, plaform tersebut adalah untuk mendorong kemajuan ekosistem perniagaan Malaysia, terutamanya usahawan dan PMKS supaya mereka dapat bertindak sekarang dan melaksanakan transformasi digital.

 

“Menerusi platform ini, kami berharap untuk menyokong matlamat negara menyediakan tahap keterangkuman dan capaian digital yang lebih tinggi dengan melengkapkan rakyat dan perniagaan Malaysia dengan ilmu, peralatan dan platform digital bagi memacu pertumbuhan masa depan,” katanya.

 

Ketua Pegawai Operasi Wilstech, Ernie Tan menambah bahawa teknologi bersifat dinamik dan berkembang pesat, di mana capaian kepada teknologi dan platform terpilih dan terkini membolehkan tenaga kerja semasa dan masa depan untuk bersiap sedia serta menyesuaikan dan memenuhi keperluan pendigitalan perniagaan.

 

“Pelancaran hari ini memperlihatkan komitmen kami untuk menyediakan peralatan, platform dan teknologi yang baharu dan termampu untuk individu mengembangkan potensi, meningkatkan kemahiran dan mengukuhkan kecekapan mereka,” katanya.

 

Menerusi rumusan serba lengkap berteknologi tinggi seperti eMOBIQ, Wilstech berkata ia akan memanfaatkan pengalaman, kepakaran, rangkaian dan teknologinya untuk membimbing serta membantu perusahaan dan individu mempercepatkan pendigitalan agar kekal kompetitif dan merebut peluang yang timbul daripada ekonomi digital.

 

Sempena pelancaran itu dan sambutan ulang tahun kelima syarikat, Wilstech juga melancarkan eMOBIQ Challenge 2023 iaitu pertandingan pembangunan aplikasi tanpa kod pertama dan terbesar di negara ini, terbuka kepada semua institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

 

Menurut syarikat itu, eMOBIQ Challenge menyaksikan pendaftaran dan penyertaan 127 pasukan dari 24 universiti tempatan, di mana mereka telah menyahut cabaran untuk membangunkan aplikasi mudah alih paling praktikal, inovatif dan berkesan menerusi platform eMOBIQ.

 

Menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM300,000, para peserta diberi masa dua bulan untuk melengkapkan reka bentuk aplikasi yang akan dinilai oleh panel hakim terdiri daripada profesional industri dan usahawan.

 

Pelancaran tersebut telah dirasmikan oleh Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan turut disaksikan oleh penganjur bersama, Givemetext (GMT) dan rakan kerjasama IT mereka, OrangeKloud. - DagangNews.com