Waspada skim penipuan di Telegram, SC terima 47 aduan pada Januari  | DagangNews Skip to main content

Waspada skim penipuan di Telegram, SC terima 47 aduan pada Januari 

KUALA LUMPUR 15 Mac - Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengingatkan orang ramai mengenai peningkatan mendadak penipuan pelaburan yang dipromosikan dalam aplikasi Telegram.

 

Sejak Januari 2022, SC telah menerima 47 aduan dan pertanyaan mengenai skim pelaburan haram melalui aplikasi itu yang menawarkan peluang pelaburan yang tidak wujud serta menjanjikan pulangan sangat menarik dan bebas risiko dalam jangka masa singkat. 

 

Menurut agensi tersebut, skim-skim tersebut kebiasaannya menawarkan pulangan yang tidak realistik sehingga 1,000% dalam masa 24 jam atau beberapa jam.

 

"Pihak ini menggunakan pelbagai nama untuk menjalankan aktiviti penipuan pelaburan. Mereka juga boleh menyamar atau mengklon perantara pasaran modal berlesen dengan menggunakan nama, logo, kelayakan, laman web dan butiran lain daripada entiti yang sah bagi mempromosikan skim haram tersebut.

 

"Mereka juga mewujudkan kumpulan awam di Telegram bagi mempromosikan pakej pelaburan yang kebiasaannya disertakan dengan testimoni palsu dan juga diiklankan sebagai patuh syariah. 

 

"Pelabur yang berminat akan diminta untuk menghantar mesej terus kepada wakil untuk memulakan pelaburan dalam pelbagai pakej yang ditawarkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Selain itu, SC berkata, pelabur sering diarahkan untuk mendepositkan wang ke dalam akaun bank peribadi individu yang mendakwa mewakili entiti yang sah, dan/atau ke dalam akaun korporat yang tidak berkaitan. 

 

Jelasnya, bagi mendapatkan kepercayaan dan menarik mangsa untuk tidak curiga, pelaku akan mendakwa bahawa entiti mereka dan/atau skim pelaburan tersebut telah diluluskan oleh pihak berkuasa kewangan.

 

"Oleh itu, SC ingin mengingatkan pelabur supaya sentiasa berhati-hati dalam menilai peluang pelaburan, terutama yang menjanjikan pulangan tinggi yang tidak realistik dengan risiko yang sedikit atau tiada.

 

"Pelabur juga tidak seharusnya memindahkan wang ke dalam akaun bank peribadi seseorang jika diarahkan," jelasnya.

 

Dalam hal ini, SC menggesa orang ramai untuk merujuk kepada Senarai Peringatan Pelabur SC sebelum membuat sebarang pelaburan.

 

Senarai tersebut mengandungi butiran laman web, produk pelaburan, syarikat dan individu yang beroperasi tanpa kebenaran. - DagangNews.com