PETALING JAYA 6 Mac - Syarikat amanah patuh syariah, Wasiyyah Shoppe Bhd merancang untuk mengembangkan perkhidmatan pengurusan harta Islam ke Indonesia dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe, Ariffin Sabirin berkata, bagaimanapun misi tersebut agak sukar dilaksanakan dalam masa terdekat berikutan perlu memenuhi peraturan dan undang-undang Islam di negara itu yang berbeza dengan Malaysia.
Beliau berkata, pihaknya memilih Indonesia berikutan ia mempunyai jumlah umat Islam terbesar di dunia.
“Oleh itu, kami mengambil banyak usaha untuk menembusi pasaran negara itu. Peluang disana lebih banyak, bukan pengurusan hibah sahaja.
"Kita perlu melihat tahap penerimaan Indonesia, seperti undang-undang dan rangka kerja sebelum kita sampai kepada idea itu.
"Kami sebenarnya telah membuka jalan, lakukan pembelian dengan semua pihak berkepentingan di sana. Sudah pasti, kami akan pergi bersama Sedania As Salam Capital Sdn Bhd," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Wasiyyah Shoppe dengan Sedania Innovator Bhd, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Sedania Innovator, Tan Sri Abdul Halim Ali; Pengerusi Wasiyyah Shoppe, Datuk Ahmad Tajudin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam, Nisa Ismail.
Sedania menerusi anak syarikat fintechnya, Sedania As Salam menandatangani perjanjian tersebut untuk menjadi rakan kongsi korporat eksklusif bersama syarikat amanah patuh syariah itu.
Perjanjian itu sebagai usaha memangkinkan potensi pertumbuhan Wasiyyah Shoppe dengan menyediakan penyelesaian digital yang inovatif kepada rangkaian luas institusi perkhidmatan kewangan (FSI). - DagangNews.com








