Volkswagen perkenal Golf GTI dilengkapi IQ. Drive berharga RM244,990 | DagangNews Skip to main content

Volkswagen perkenal Golf GTI dilengkapi IQ. Drive berharga RM244,990

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Mac - Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan Golf GTI yang dikemas kini dan dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu (ADAS) inovatif yang dikenali sebagai 'IQ. Drive'.

 

Bahagian luaran juga menerima naik taraf dengan ciri-ciri baharu seperti pengecasan tanpa wayar, serta sulaman logo GTI pada tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan. 

 

Golf baharu kini hadir dengan harga cadangan bermula RM244,990.

 

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata, syarikat komited untuk meningkatkan tahap keselamatan kenderaan menerusi kemajuan dari segi rekaan dan teknologi seperti sistem IQ. Drive. 

 

Katanya, mereka sentiasa berusaha untuk menawarkan pengalaman pemilik terbaik kepada para pelanggan. 

 

"Ciri keselamatan baharu pada Golf GTI terkini merupakan satu lagi bukti komitmen kami untuk menawarkan tahap keselamatan serta prestasi kepada para pemilik," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dalam pada itu, sistem IQ. Drive direka untuk membantu pemandu menjadikan perjalanan mereka lebih selamat dan selesa. 

 

 

vw

 

 

Antara ciri-ciri keselamatan termaju termasuklah 'Travel Assist dan Adaptive Cruise Control (ACC)' yang menggunakan radar serta pelbagai alat pengesan untuk mengesan kenderaan di hadapan. 

 

Tidak ketinggalan ciri 'Side Assist' yang berfungsi sebagai pemantau titik buta dan 'Rear Cross Traffic Alert' yang memberi amaran kepada pemandu tentang potensi bahaya apabila gear undur diaktifkan. 

 

Golf GTI juga hadir dengan 'Front Assist' yang merupakan ciri 'Autonomous Emergency Braking (AEB)'. Ia menggunakan satu unit sensor radar yang diintegrasikan pada bahagian hadapan kenderaan untuk sentiasa memantau jarak kereta di hadapan. 

 

Selain mengesan kenderaan, versi terbaharu ciri 'Front Assist' turut mengenal pasti kehadiran pejalan kaki dan penunggang basikal yang melintas jalan.  

 

 

vw

 

 

Fungsi 'Lane Assist' pula memastikan pemandu sentiasa berada dalam laluan yang betul dengan menggunakan ciri bantuan pengekalan lorong berasaskan kepada kamera.  

 

Sekiranya kenderaan bergerak ke lorong lain ketika lampu isyarat membelok digunakan oleh pemandu, sistem ini akan berfungsi secara automatik dengan menarik semula stereng kembali ke lorong betul.  

 

Bukan itu sahaja, terdapat juga fungsi 'Adaptive Lane Guidance' yang memastikan kenderaan sentiasa berada di tengah-tengah lorong setelah sistem belajar daripada corak pemanduan pemandu.  

 

Cukup dikenali sebagai sebuah 'hot hatchback' sebenar, Golf GTI kini dilengkapi pelbagai ciri baharu pada bahagian dalaman dan luaran. Antaranya termasuklah lampu kabus, cermin sisi boleh laras bersama ciri pemanas dan penambahan sehingga tujuh beg udara. 

 

Golf GTI mengutamakan keterujaan dalam setiap pemanduan yang ditawarkan oleh enjin turbo berkuasa 245PS dan tork 370Nm. Ia menjanjikan pengalaman pemanduan mengujakan dan sukar dilupakan bersama penambahan beberapa  ciri keselamatan untuk pemandu. 

 

Tempahan dan sesi pandu uji boleh dibuat di semua pengedar sah Volkswagen di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, layari https://www.volkswagen.com.my/the-all-new-golf/golfgti. - DagangNews.com