Vestland mulakan penampilan sulung di Bursa Malaysia pada 38 sen, dengan premium 15% | DagangNews Skip to main content

Vestland mulakan penampilan sulung di Bursa Malaysia pada 38 sen, dengan premium 15%

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 31 Jan - Vestland Bhd membuat penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada hari ini dibuka pada 38 sen atau premium 15.15% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 33 sen.

 

IPO ini termasuk terbitan awam sebanyak 170 juta saham baharu dengan tawaran jualan sebanyak 70.8 juta saham sedia ada.

 

Pada harga tawaran 33 sen, ia dianggarkan memberi permodalan pasaran sebanyak RM311.6 kepada kumpulan selepas langkah penyenaraian itu.

 

Vestland dijangka memperoleh RM56.1 juta daripada penyenaraian itu dengan sebahagian besar iaitu 59.71% atau RM33.5 juta akan diperuntukkan untuk modal kerja.

 

Ini diikuti oleh RM10.8 juta (19.25%) untuk bon prestasi dan deposit tunai untuk projek pembinaan dan RM7.5 juta (13.37%) untuk pemerolehan ibu pejabat baru.

 

Baki sebanyak RM4.3 juta (7.67%) akan digunakan untuk anggaran perbelanjaan tersenarai.

 

Sebanyak 47.22 juta saham baru telah disediakan daripada terbitan awam untuk permohonan tempatan dan 27.75 juta saham lagi disediakan untuk pengarah, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan Vestland.

 

Sementara itu, sebanyak 95.04 juta saham baharu melalui penempatan persendirian kepada pelabur bumiputera yang dikenal pasti diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

 

Kumpulan tersebut pada mulanya terlibat dalam pembinaan pembangunan swasta, bangunan perindustrian dan projek kerajaan di mana mereka bermula sebagai kontraktor binaan tulen pada 2011.

 

Pada 2020, ia berkembang menjadi kontraktor reka bentuk dan binaan dan memasukkan kerja-kerja kejuruteraan awam pada 2021.

 

AmInvestment Bank Bhd ialah penasihat utama, penaja, ejen penempatan dan penaja jamin untuk penyenaraian tersebut. – DagangNews.com