KUALA LUMPUR 9 Julai - Vantage RE Ltd akan terus menjadi salah satu pemacu pertumbuhan utama buat usaha tenaga boleh baharu (RE) Tenaga Nasional Berhad (TNB) di peringkat antarabangsa, kata RHB Investment Bank.
Menurut firma penyelidikan itu, perniagaan RE TNB menerusi Vantage, anak syarikatnya di United Kingdom (UK) juga mengukuhkan keupayaan dalamannya melalui peminjaman kakitangan dan sesi perkongsian ilmu.
"Saranan 'Beli' dikekalkan dengan harga sasaran (TP) RM16.10 sesaham, potensi kenaikan harga saham 13% dan kadar hasil dividen sekitar 4% tahun kewangan 2025 (FY25F).
"Selepas selesainya lawatan tapak, kami berpendapat Vantage RE akan terus menjadi salah satu pemacu pertumbuhan utama buat usaha RE yang dilaksanakan oleh TNB dari segi antarabangsa," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
RHB Investment berkata, selepas ditubuhkan pada 2021, Vantage mempunyai 92 tapak operasi di UK dan Ireland dengan jumlah kapasiti operasi gabungan kasar mencecah 806.1 megawatt (MW) (19% daripada portfolio RE TNB), 101.7MW sedang dibina dan 307.6MW sedang dibangunkan.
Katanya, kebanyakan aset ini ialah solar (61%), diikuti dengan aset angin di darat (20%), system simpanan tenaga bateri (BESS) (11%) dan aset angin luar pesisir (8%).
ARTIKEL BERKAITAN: Inisiatif TNB di UK percepatkan peralihan tenaga bertanggungjawab Malaysia
"Vantage RE menyasar untuk mencapai kapasiti >2 gigawatt (GW) pada 2030 daripada 1.2GW sekarang. Kami difahamkan bahawa aset-aset RE ini dimeterai dalam perjanjian pembelian kuasa korporat (PPA) selama sekitar 15 tahun.
"Tarif ditetapkan pada kadar tetap atau apungan, dan hal ini dapat memberi kebolehlihatan hasil kepada Vantage RE sementara ia memanfaatkan harga tenaga lebih mahal pada waktu-waktu yang berlainan," jelasnya.
Tambahan lagi, kata RH Investment, kebanyakan aset-aset RE milik Vantage sekarang mempunyai skim sokongan jangka panjang.
"Kami diberi bayangan mengenai peri pentingnya subsidi-subsidi ini, dan dapat menyumbang >50% daripada hasil Vantage dalam jangka sederhana.
"Oleh itu, aset-aset RE ini biasanya mencatat pulangan berdigit tunggal tinggi, manakala tenaga angin mencatat nilai lebih tinggi sedikit jika jangka hayatnya mencecah sekitar 30 tahun," ujarnya.
Dalam pada itu, firma penyelidikan itu berkata, pendapatan kasar Vantage telah memaparkan pertumbuhan kukuh daripada 34 juta pound pada FY21 kepada 139 juta pound pada FY23.
Katanya, margin EBITDA pula berada dalam lingkungan 69-75% pada FY21-23 dengan pada FY22 menjadi lebih kukuh sebanyak 75% dipacu oleh kenaikan harga tenaga akibat perang Rusia-Ukraine.
"Sementara itu, pengaturan pinjaman pemegang saham yang diberi oleh TNB kepada Vantage juga membantu menghantar tunai pulang ke negara dan >1/3 daripada jumlah pelaburan TNB sudah diagihkan setakat ini.
"Kami diberi bayangan bahawa pendapatan bersih Vantage masih merekodkan kerugian akibat bayaran kos kewangan yang besar.
"Oleh itu, mengikut pandangan kami, sumbangan perolehan daripada Vantage kepada TNB mungkin tidak begitu ketara selagi struktur kewangan yang sama terus diguna pakai," katanya. - DagangNews.com








