Vantage RE milik TNB lengkapkan pembiayaan RM1.564 bilion di UK | DagangNews Skip to main content

Vantage RE milik TNB lengkapkan pembiayaan RM1.564 bilion di UK

Proses pembiayaan tidak akan memberi sebarang impak material kepada kedudukan kewangan Kumpulan TNB. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 23 Feb - Subsidiari milik penuh Tenaga Nasional Berhad, Vantage RE Ltd. (Vantage RE) telah melengkapkan proses pembiayaan £275 juta atau kira-kira RM1.564 bilion menerusi pembiayaan semula porfolio ladang tenaga solar Vantage Solar UK (VSUK) di United Kingdom.

 

Portfolio solar 365 MW itu terdiri daripada 24 solar PV dipasang di atas tanah di serata England dan Wales, menjadi penyumbang penting kepada bekalan tenaga bersih UK.

 

Satu anggaran oleh Macquarie Green Investment Group, portfolio itu menghasilkan elektrik setiap tahun untuk menjana tenaga yang bersamaan untuk lebih daripada 90,000 kediaman sementara membantu mengelakkan 3,300 kilotan pelepasan karbon diosida sepanjang jangka hayat portfolio berkenaan.

 

Kemudahan pembiayaan dengan Macquarie Asset Management, diatur oleh Standard Chartered Bank, adalah sebahagian daripada inisiatif pengurusan Vantage RE bagi mengoptimumkan struktur pembiayaan VSUK dan menyediakan ketentuan pelaburan yang lebih besar untuk tempoh jangka panjang.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, pembiayaan tersebut membuktikan portfolio berkenaan mampu memenuhi jangkaan peminjam mengenai pematuhan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) menerusi prestasi portfolio yang dikaitkan dengan taxonomy Kesatuan Eropah untuk kegiatan lestari.

 

''Kegiatan tersebut mengukuhkan perjalanan TNB di dalam mencapai wawasan ESG globalnya,'' kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Pembiayaan tersebut adalah satu lagi sumbangan bernilai disediakan oleh Vantage RE kepada portfolio solar di bawah pengurusannya. 

 

Sejak mengambil alih kawalan pengurusan portfolio VSUK tahun lepas, prestasi EBITDA portfolio telah bertambah baik sebanyak 28% daripada £30.3 juta pada 2020 kepada £38.7 juta pada 2021. 

 

Datuk Ir. Baharin Din
              Datuk Ir. Baharin Din

 


TNB yakin bahawa di bawah pengurusan Vantage, portfolio VSUK akan terus berkembang dari segi nilai dan terus memberikan pulangan yang munasabah kepada para pelaburnya.

 

Proses pembiayaan tidak akan memberi sebarang impak material kepada kedudukan kewangan Kumpulan TNB - DagangNews.com